BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Thursday, May 28, 2015

Di sudut kaki lima kenangan, pada penjuru sebuah petang



di sini ada hujan yang menangis
seperti petang itu
saat aku setia menunggumu
dan kita berlari dalam kebersamaan waktu
saat kau ralit mendengar ceritaku
tentang kehidupan yang mahu aku tulis
sambil memijak dedaunan yang kering

seperti biasa,
penjuru sebuah petang aku setia menunggumu
dalam badai hujan dan ribut kehidupan
dan kau memberikan aku terasa dilindungi
daripada titis hujan mengenai tubuh mulusku

sehingga petang,
aku masih setia menunggu
kita rupanya tiada jodoh dalam kehidupan
kerana kenangan kita tertanggal oleh takdir
antara darjah dua kehidupan

aku adalah tanah di rerumput sepi
masakan boleh bergandingan dengan
biru awan di langit tinggi
sehingga petang,
harapannya tinggal tiada kesudahan
hanya menyuakan sebuah kenangan
yang aku kejap simpan
dalam sebuah ingatan dan kerinduan

kita terpaksa kalah dengan ketentuan
pada indah sebuah perkenalan
belum tentu penghujung kebahagiaan.


PADANG MERBOK, KUALA LUMPUR.




Wednesday, May 27, 2015

PEREMPUAN YANG MENGIRIM RINDU





Dalam sela-sela nafas hayat
Tidak ditemukannya lagi makna
Tentang ruang hati- patah
Jadi beku sedingin salju
Sepi yang memeluk erat pilu
Menjadi makin akrab
Dalam rindu-kaku

Menjadi pengirim rindu
Pada janji yang tidak ditemu
Dan rindu hanya menjadi bebayang
Mengejar erat ingatan sayang

Ke mana dia pergi
Rindu tetap bersemadi
Kerana itu sepi
Yang dilontar dalam mimpi.



BULATAN JAM BESAR, KOTA BHARU

*DEWAN SISWA OKTOBER 2016
*Memenangi Hadiah Sastera Darul Iman III (HASDI 2017) dalam kategori puisi remaja eceran

PEREMPUAN YANG DITINGGALKAN BEBAYANG KELMARIN



Dalam keberadaan usia
Perempuan yang tertinggal kelmarin
Sedang duduk termangu di penjuru waktu
Sambil mengusap sepatu lusuhnya
Yang lain sedang meninggalkannya
Perlahan-lahan tanpa dia perasaan
Dan menjadi sebahagian bayang silam
Yang masih erat mengejar sanubari

Di anjung kesetiaan, dia masih termangu
Dan terpijak puspa rindu pada sepatu
Rasa itu meluruhkan debu
Debu-debu berselerakkan rindu

Saat berkali-kali mahu dilupakan
Dia ditinggalkan bebayang kelmarin
Tanpa sempat dia mengejar lagi
Kerana kelmarin telah berlalu
Dengan sesempurna waktu

Di sudut anjung kesetiaan
Harum kelmarin menerbangkan kenangan
Sedang dia masih membasahkan lara
Air mata jiwa yang luruh tiba-tiba

Setiap saat,
Laman perasaannya berdetak
Rasa resahnya terhambat
Dalam paluan yang tidak berentak

Malangnya,
Dia meluruhkan rindu pada debu
Yang tiada bertamu
Lagi selepas itu

“Awak,
Hujan di sana
Tidak sama seperti hujan di sini
Hujan di sana menumbuhkan rindu
Hujan di sini menitiskan pilu
Sedang di sana berteduh dengan pasti
Sedang di sini menunggu tanpa jemu”

Dalam beberapa aksara jawapan
Jadilah dia perempuan yang digagalkan cinta
Oleh helaian kenangan bebayang kelmarin
Jadi biarlah hidupnya disinggah untuk pencipta.


Menghantar Surat-Surat Cinta Pada Sujud Setia



Bagaimana dengan rasa cinta
Yang dihantar lewat sujud setia
Adakah ia bahagia atau sengsara?

Dia percaya,
Tuhan akan menghantar suara rindunya
Dalam setiap tinta
Ditemani cahaya pelita
Walaupun dalam kelam gelita
Seperti dia menghantar surat-surat cinta
Setia kepada alamat empunya

Ia tetap akan sampai ke cita
biarpun panjang kisah derita
Kerana itu adalah harga
Sebuah setia kudus doa

Dan tuhan akan tetap
Menghantar helaian pertama
Surat-surat cintanya
Ke alamat penerima
Biarpun berkali-kali tidak diterima.

KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

Sekuntum Bunga Di Penjuru Wilayah Kuala Lumpur



Di penjuru wilayah bernama
Kuala Lumpur,
Di ranjang itu dia berbaring
Menukang sebuah cinta
Yang menjadi sebahagian jiwa
Dia menyihir hujan petang
Menjadi senyuman kayangan

Di penjuru sudut Kuala Lumpur
Dia adalah sekuntum bunga menggelepar
Dalam ilmu yang mahu digembur
Walau dikelilingi rerumput sukar
Dia tetap tidak gentar

Kerana ranumnya,
Hanya dia yang rasa.



LRT BANDARAYA, KUALA LUMPUR.

Sekuntum Bunga Digagalkan Rasa



Dia adalah sekuntum bunga
Yang digagalkan rasa
Yang tewas dengan cinta
Dia lantas parah menjadi debunga
Bertebangan dibawa rakus pawana
Sedang sebenarnya gelora

Dia sebenarnya hanya bunga
Yang layu di singgahsana
Kerana hayatnya tiada

Sekuntum bunga
Seperti juga air mata
Hidup juga sementara.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




Bonda, Getarnya Hempedu Pilu



Bonda,
Bolehkah aku tidak mahu menjadi dewasa?
Dan tidak silap mentafsir mimpi jejaka
Dalam denai-denai menggapai kejora
Dan tersilap memberikan cahaya

Bonda,
Bolehkah aku tidak mahu menjadi dewasa?
Kerana getarnya hempedu pilu jiwa
Melewati resah kemanusiaan bertulis cinta
Sedangkan helaian kasihnya tidak saksama

Bonda,
Bolehkah aku tidak mahu menjadi dewasa?
Dan memutuskan nadi kehidupan masa
Kerana rasanya bertanggung hiba
Dan menggelepar mencantumkan huruf sengsara

Bonda,
Aku tidak mahu menjadi dewasa
Dan merasa parahnya sebuah rasa.


Bonda,
Bagaimana untuk memadamkan sebuah rasa
Kalau hati tidak mampu membubarkannya dari jiwa.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.


Thursday, May 21, 2015

Bagaimana Dilukiskan Persahabatan



Teman,
Bagaimana dilukiskan persahabatan?
Berwarna warni tanpa perasaan
Atau hanya beku di kanvas kehidupan

Kawan,
Bagaimana dilukiskan persabahatan
Dengan berus atau calitan
Yang tidak memudarkan resah persahabatan

Rakan,
Bagaimana dilukiskan persahabatan
Menggunakan rencah kebiruan
Atau larut dalam pelbagai campuran

Taulan,
Bagaimana dilukiskan persahabatan
Kerana tiada persahabatan tiada lakaran
Yang menjadi sebuah kenangan.



PERPUSTAKAAN REBANA UBI, ASWARA

Antara Biru Dengan Merah Jambu



Katamu
Kita adalah sepasang sepatu
Indah berwarna biru
Yang berbeza variasi liku
Seperti melukis rasa hempedu
Pahitnya yang menggebu
Hanya dirasa oleh kalbu

Katamu
Kita adalah sebuah buku
Berada di sebuah sudut penjuru
Dibalut cantik merah jambu
Yang dituliskan lewat rindu
Dengan calitan warna pelepah bulu
Manisnya hanya DIA yang tahu

Antara biru
Dan merah jambu
Yang mana satu
Menjadi kesukaanmu?



*tersiar di Dewan Siswa edisi Oktober 2015

Wednesday, May 20, 2015

Untuk Sehelai Daun Kenangan


(Belasungkawa Cikgu Rahimidin Zahari)

Cikgu,
Terima kasih kularikkan dalam tinta
Kerana aku menahan sendu air mata
Dalam lewat-lewat tulisan kata

Untuk sehelai daun kenangan
Yang telah pulang ke negeri pengabadian
Damailah menghadap dakapan tuhan
Hanya kudus doa menjadi titipan

Cikgu,
Jasamu sentiasa dalam ingatan
Untuk sebuah tulisan yang berkekalan
Di sepanjang lembah zaman
Segala pesanan memahat kenangan
Hanya yang indah sebagai tulisan.


HOSPITAL SUNGAI BULOH

14 MEI 2015

Surat Bayi Kecil Kepada Ibunya



Ibu,
Kau tahu
Hari ini aku menangis pilu
Kerana kasihmu padaku
Langsung tidak berpadu
Sedangkan aku adalah benih cintamu
Yang sering bergetar dalam kalbu

Ibu,
Aku tetap mahu belajar untuk hidup
Mahu merasa dakap hangatnya mentari
Mahu menitip senyuman dibibirmu
Kerana itu adalah pesona kalbu
Yang sering kuidamkan selalu

Ibu,
Kau tahu
Mungkin aku adalah yang pertama dan terakhir

Penghuni di dalam rahimmu

KAMAR ILHAM




Aku masih membayangkan dirimu
Usai aku memeluk cahaya mentari pagi
Namun engkau telah mengusut menjadi angin
Tertinggal sesuatu yang bernama mimpi

Dalam lewat sabdamu juga aku menunggu
Hingga lewat dinihari
Ilham juga turut menyepi
Sama seperti engkau melangkah pergi
Tanpa pesan yang memahat sanubari.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.



KEKASIH MALAM SOLDADU HAYAT




Aku adalah dingin kemboja
Yang kau puja
Tetapi sudah dilupa
Masaku sudah tiba
Sudah mampir di pusara

Bertuntas menjadi sebahagian
Yang menyenangkan jiwa
Biarpun sentiasa dibaja
Hujan kasih dalam hiba

Kalau kau mencari mawar dihujung sana
Tidak akan pernah kau jumpa
Kerana yang ada
Hanya wangian kemboja
Dihujung sebuah pusara.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.


Monday, May 18, 2015

Tanah Seberang Yang Aku rindu



Menemuimu walau dalam larut mimpi
Adalah sebuah keajaiban sakti
Yang mampu memukau sanubari
Yang memberi sebuah ilham sejati

Walau ke mana aku pergi
Mengembara ke kota ilusi
Atau di mana-mana bersembunyi
Aku mahu menjadi abadi
Di sisimu nanti
Tempat jasabku bersemadi.


PASIR PEKAN.



Jalan Yang Dilaluinya Berkali-Kali Adalah Sama



Kehidupan yang dikejar berkali-kali
Adalah sama
Walau ujiannya berduri
Jalannya adalah serupa
Manusia tanpa pengharapan
Adalah jasab tanpa kehidupan

Kerana kehidupan di dunia
Bukan kehidupan yang sebenarnya
Letakkan dunia hanya di tangan
Dan akhirat kekal di jiwa

Teman,
Kebenaran itu pahit
Yang manis cuma kepalsuan.





Dari Warna Hujan



Dari warna hujan,
Aku lukiskan perasaan
Yang akrab dengan dingin
Yang cemburu dengan angin

Dari warna hujan,
Aku mengejar masa
Yang menyuburkan sebuah dewasa
Yang melarutkan sebuah rasa.

  
KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




Senyuman Mentari Pagi

     
    

Ada senyuman mentari pagi
Yang membuat aku jatuh cinta berkali-kali
Kerana begitu terpesona akan kebesaran ilahi
Seperti sesuatu yang melekat di hati
Sukar untuk dikikis pergi
Sedang sesuatu dalam tangan ini
Belum tentu dimiliki

Dengan senyuman mentari pagi
Memberikan kekuatan pada diri
Tak membiarkan bunga berwajah sunyi
Biarpun perkataan yang paling akrab adalah sepi
Yang sering menjadi sisa tertinggal mimpi

Mentari pagi,
Cinta sudah lama pergi
Yang tinggal cuma sepi

Mentari!
Moga esok datang lagi
Membaluti tubuh ilusi


JODOH DENGAN KEMATIAN



Takdir itu dekat
Sangat melekat
Seperti maut
Yang semakin menghambat

Dan kematian tidak akan menjemputmu
Di hari tuamu
Mungkin lebih awal menjemputmu
Kerana jodoh dengan kematian
Tidak pernah tertunda oleh waktu

Yang diperlu ditarbiah adalah hati
Supaya tidak terus mati

Hanya dekat dengan tuhan
Melupuskan gusar kegelisahan.




Wednesday, May 13, 2015

Adik



Adik, maaf alongmu rindu
Panggilan itu tetap melekat di bibir alongmu
Walaupun kau bukan lagi bongsu
Kau adalah adik kecilku
Yang dijaga setiap detik waktu
Yang ditatang dalam sayang menggebu
Yang tidak akan membiarkan jarimu
Luka terkena semalu
Yang tidak pernah melepaskan tanganmu
Sewaktu kau mula bertatih dahulu
Yang sering mendodoikan buaian syahdu
Dan terkadang kau terlena di pangkuanku

Hari ini along cuma terkedu
Membaca berita kematian teman sebayamu
Auranya sepertimu
Perangainya juga sepertimu
Along jadi sendu
Mengenangkan setiap persekolahanmu

Tentang kau meluahkan resah hati
Kau juga pernah dibuli
Tapi kau buat tidak peduli
Dan tidak simpan sakit hati
Walaupun pernah dikasari

Adik,
Moga setiap langkahmu dilindungi
Dan langkah permusafiran ilmumu dirahmati
Kerana kau juga meletakkan cinta ilahi
Dalam tempat yang tertinggi
Dalam cinta tuhan yang sejati
Itulah doa yang mampu along beri



Yang sungguh Menyayangimu,
Alongmu



MAS KAHWIN UNTUK BIDADARIMU



Mas kahwin untuk bidadarimu
Adalah sekuntum bunga melati
Yang kau petik
Dari sujud sembahyangmu
Setiap hari

Buah cintamu
Dengan bidadarimu
Adalah lahirnya sejuta generasi teladan
Yang mengendong tempayan-tempayan kemanfaatan
Bagi manusia dan kemanusian
Pada setiap tempat, pada setiap zaman – (HES)




MAHARNYA MAWAR SEORANG PEREMPUAN




Mahar seorang perempuan
Bukan wang bernilai jutaan
Bukan juga harga sebuah kucupan

Mahar seorang perempuan
Kerana akhlak yang diperjuangkan
Kerana akal yang budiman
Kerana ilmu yang sopan
Kerana sulbi penuh kebaikan

Mahar seorang perempuan
Kerana melahirkan zuriat warisan
Seorang penyeri sebuah kehidupan

Mahar seorang perempuan
Tiada harga ditetapkan
Kerana perempuan seindah ciptaan
Yang elok diutus tuhan.

Bukankah janji tuhan itu benar dalam Al-Quran?

“ perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Dan mereka itu bersih dari apa yang kamu sembunyikan” – An-Nur:26

Dua Stesen Terakhir



Mungkin ini adalah perhentian terakhir
Yang membuat aku resah berfikir
Dalam riwayatku lewat mutakhir
Untuk sebuah rasa seorang musafir

Sesudah letih menggeledah pelantar
Dalam jambangan kehidupan terlantar
Teringat sewaktu pertama dihantar
Oleh ayah ke Kota Sangkar
Sebuah tempat bernama Kuala Lumpur
Untuk sebuah ilmu aku kejar
Kerana cinta-NYA aku belajar
Makna payah dan gentar

Dan untuk dua stesen terakhir
Yang dicita hingga ke dasar
Demi ilmu yang ranum sabar
Itulah manisan yang memagar
Membuat senyuman sentiasa mekar
Untuk hari-hari sepi memugar.

LRT CEMPAKA-LRT CAHAYA-LRT AMPANG


Pesan Kehidupan



Dalam lewat-lewat masa
Kau tetap juga percaya
Tuhan akan menghantarkan dia
Dalam meredah usia remaja
Dan melewati usia senja

Dan kau tetap juga percaya
Dia akan hadir bawa bahagia
Memeluk erat impian bersama
Untuk kau labuhkan segala setia
Untuk kau berikan sepenuh cinta
Dalam membina kehidupan sejahtera

Namun satu kau perlu percaya
Jika tiada jodoh di dunia
Kau tetap menjadi bidadari di sana
Nun di sebuah syurga
Yang lebih cantik pelamin singgahsana
Yang lebih indah sebuah cinta

Percayalah, untuk sebuah rasa!
Jangan termenung bermuram hiba.



Hujan Petang







Sewaktu pulang
Hujan petang

Aku kuyup kebasahan
Terkena tempias kehujanan
Dari lalu lalang kenderaan
Aku menahan kehibaan
Melihat tompokan pada pakaian

Dan hujan petang itu,
Aku redah dengan jitu
Harus berani berdepan pilu

Hujan petang,
Mengajarkan aku erti berjuang.


LRT CEMPAKA-KENARI COURT





Menulis Itu Cinta



Dengan nama tuhan,
Yang maha pengasih
Dan maha penyayang

Bersaksikanlah penaku bertinta
Berceritera segala cerita
Kerana menulis itu cinta
Yang menghidupkan jiwa

Tuhan,
Jika tulisanku celaka
Aku akan mendapat dosa
Jika tulisanku sejahtera
Aku akan mendapat pahala

Nun jauh di sana,
Di dalam sebuah kudus doa
Aku menadah tangan meminta
Moga tuhan sentiasa pelihara
Setiap tulisan aksara kata
Kerana itu jiwa kurniaan-NYA.