BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Wednesday, October 28, 2015

Ada apa dengan tangisan di wilayah hati seorang perempuan



Saat engkau memandangku
Dan berkata kita bisa memilih waktu
Maaf, untuk saat itu
Aku telah jatuh rindu
Kerana aku perempuan yang lebih
Memilih sunyi dari keriuhan hatimu sendiri

Saat aku berdiri di muka pintu
Engkau hanya memandang di penjuru
Jadi engkau tidak lihat debu di mataku

Aku tidak pernah silap menanam engkau
Pada kalbu
Kerana aku percaya sedikit waktu
Kita pasti bertemu

Mungkin aku adalah seseorang yang
Masih setia memeluk kenangan
Sedangkan padamu ianya
Hampir luput dalam ingatan.

TBS- Tesco KB.

24/10/2015

Untuk Kenangan yang tidak pernah dewasa






Mencantum menjadi sebahagian diri
perkara paling sukar ditakluki

Hal yang paling menyeksa
Yang menjerat minda dan rasa
Adalah hal-hal lewat dewasa

Sesuatu yang bernama kenangan
Adalah hal yang tidak berulang kembali
Melainkan mengucapkan selamat jalan 

Ada mimpi yang belum tercantum ilusi




Separa hati
Dalam bilah hari
Belum tercantum ilusi
Penuh menjadi mimpi

Dewasa ini
Dia masih mendakap sepi
Berjeda menjadi sebahagian diri
Dalam menggunggulkan sebuah peribadi.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

Tuesday, October 13, 2015

BILA AJAL MENJEMPUTMU



Kita tidak pernah bertanya tuhan
bagaimana keadaan ajal datang
ketika kita kusyuk bertasbih dalam kesendirian
atau ketika kita sedang leka dalam berteman

Kita tidak pernah bertanya tuhan
bahawa kehidupan ini kesementaraan
tetapi kita leka mengejar keduniaan
menebarkan diri dalam kejahilan

Kita tidak pernah bertanya tuhan
kerana apa perlu sebuah kematian
kita menumpang di bumi tuhan
dengan pelbagai lagak kehidupan
bila maut mendekat kita menggetar ketakutan
barulah kita bertanya makna sebuah iman.


KAMAR ILHAM PANDAN INDAH

12-10-2015

Mengenal-mu dalam nafas hakikat



Aku mengenal-mu di dalam setiap
hela-hela nafas hakikat
dalam keinginan kasih yang tidak terikat
di sebuah ruang keindahan bersyariat

Aku adalah bahagian jiwa pengembara
yang tidak sempurna
penuh hina puing dosa
namun sepotong kata-kata
membuatkan hati berbelah dua

Tuhan,
Masihkah ada ruang masa
kita bercinta dengan setia?


MASJID AL-AZIM,PANDAN INDAH
5:30 PETANG

10/10/2015

BERKELANA DI KAMAR PENYAIR




Tatkala dia menggeledahi manusiawi;
resah mendikitkan idealisme semahunya
menggitar hari-hari usia
dengan tulisan di dinding rahsia
saatnya dia lari dari kelopak manusianya
hanya menyendiri berkelana di kamar sulit
setiap aksara dibasahi ilmu
dicurah dengan segenap ikhlas
bukan hanya ceritera cinta murah dan darah
ini ada sebuah cerita falsafah dan sejarah

Selamat berkelana di kamar penyair
Di sinilah beribu nafas hakikat terlahir


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH
3:13 PETANG

10/10/2015

PANTUN KASIH SAYANG III








Tanam melati dekat-dekat,
    Supaya senang dibaja selalu;
Cinta hati tetap erat,
    sentiasa tenang dalam rindu.

Hendak menjerat seekor landak,
    Umpan disisih tanpa halia;
Hidup melarat tiada berkehendak,
    Kerana kasih tetap setia.

Mengambil padi di pasir kebumbun,
    Dimakan biduk setinggi kemuncup;
Apalah hati kasih setahun,
    Kalau tidak seumur hidup.


Monday, October 05, 2015

Hanya Awak Dalam Ilusi







Rindu akan menjelma
Sungguh berhimpun dalam sukma
Nombor satu di hati
Hanya kamu dalam ilusi
Menebarkan haruman cinta seorang suri
Menjadi baja ilham puisi
Bersisa separuh rindu di hati

Aku mahu bermimpi tentangmu
Menghantar sebuah jawapan rindu
Kerana rindu itu selalunya
Tanpa kata dan suara

Aku hanya mahu menyapamu dalam mimpi
Dalam riwayat hari
Yang adamu di hati

Kamu lekat di hati
Dekat di dalam mimpi
Tapi jasadmu jauh dari realiti
Itulah alasan yang pasti.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH

DIA ADALAH ALASAN HATI MENJADI TAJUK



Aku mahu memikat malam
Tanpa sedar sudah kelam
Dia juga pemuja bulan dalam kelam
Aku tahu dia larut dalam malam

Memandang langit gemawan yang sama
Tanpa suara dari sukma
Dia mampir ke penjuru terakhir
Membuatkan mindaku menerawang berfikir

Masa akan berlalu dengan cepat
Nafas akan semakin sendat
Dalam kehidupan yang padat
Dan sepi adalah jawapan akrab hati
Dari terus tersisa menikmati mimpi

Dia tidak akan lari bertempiaran merajuk
Kerana dia adalah alasan hati menjadi tajuk
Tuhan hantarkan dia hampir denganku
Supaya jiwanya bersatu dalam reda-mu

KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

4/10/2015