Sayang kencana emas suasa,
Dicari laksamana di Pekan Selasa;
Jantung nusa adalah bahasa,
Roboh bahasa tiadalah bangsa.
Dicari laksamana di Pekan Selasa,
Pohon bidara si bunga tanjung;
Roboh bahasa tiadalah bangsa,
Kerana bahasa budi dijunjung.
Pohon bidara si bunga tanjung,
Baunya wangi hingga ke Bentan;
Kerana bahasa budi dijunjung,
Harga nilai seorang tuan.
Baunya wangi hingga ke Bentan,
Bunga melati di tengah desa;
Harga nilai seorang tuan,
Terpaut hati pada bahasa.
Bunga melati di tengah desa,
Buat warkah orang tersayang;
Terpaut hati pada bahasa,
Warisan indah nenek moyang.
p/s: terbit di dewan siswa edisi April 2016