BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Monday, November 10, 2014

AKU DAN SEKEPING KENANGAN LALU



Aku tercicir buku puisiku
maaf, lewat senja kelmarin kutemui
rupanya tersembunyi di sisi laci

aku selak lembaran tulisan jiwa lalu
yang ikhlas memperkatakan tentangmu
rupanya, aku adalah antara suara-suara rela
membisik doa terus melepaskan saja kau

di sisiku, pada saat senja
dan ketika hujan menyentuh manja
kau senandungkan lagu syahdu
aku pula catatkan puisi rindu

kujamah senyum ikhlasmu
kerana katamu
 tak usah selalu sangsi
 tak usah juga larut dalam sepi
kau membingkiskan sekuntum mawar merah nan mekar

kataku:
 aku masih hidup dalam kenangan itu
 biarpun tahun-tahun aku laluinya
 menderu pilu


9 November 2014

Riwayat sekeping daun






Aku ralitkan hati dengan rela
Daun-daun kering menampar tubuhku
Menterjemahkan makna  likuan usia
Lewat mimpi dalam perbatasan masa

Bila tiba masanya, akulah daun-daun kering itu
Yang gugur ditiup sepoi bahasa angin
Yang rapuh dungu ditinggal sepi

Seperti hayat sendiri.

Thursday, August 28, 2014

kepada adik-adikku:



Aku mencintai kalian seperti bunga mencintai titah tuhannya

Tak pernah lelah menebar mekar aroma bahagia

Tak pernah lelah meneduhkan gelisah nyala


Aku mencintai kalian seperti matahari mencintai titah tuhannya

Tak pernah lelah membahagikan cerah cahaya

Tak pernah lelah menghangatkan jalinan jiwa

Tuesday, August 19, 2014

SEBUAH PUISI DI TENGAH KOTA





Seperti ada suara puisi di tengah kota
Yang beradu tenaga dengan suara kereta
Wajah-wajah manusia
Sibuk berurus niaga

Tengah kota,
Menapak dengan makna bahagia

Suara hati lantas menyapa:
Sebuah puisi di tengah kota
Tidak akan manis seperti
sebuah puisi di ceruk desa
yang boleh kau rasa redup hatinya
dan sentuh melodi memorinya

PETALING STREET-CENTRAL MARKET-MASJID JAMEK-PANDAN INDAH







Senja Kuala Lumpur



Dari kejauhan aku tersenyum
melihat wajah langit kota
Seolah mengusir segala lara
Dari beban kerja dunia

Mentari jingga bertukar senja
Bertukar kerja bersama rembulan malam
Senja itu menghantar pesan dari tuhan
Buat kita ingat mengingat sesama insan

PANDAN INDAH
7.00 PM

Pelukis sengsara



Diakah pelukis sengsara?
Yang melukiskan pelbagai cerita
Tekun dia melukis pelbagai watak manusia kota
Yang lalu lalang tanpa mempedulikannya

Dia tetap setia dengan berus warna
Berkanvaskan kertas putih dan bakat sahaja
Melakar wajah manusia
Aku jadi ralit memerhatikannya

Pada pandangan sempurna
Sebenarnya,
Dia manusia yang luar biasa
Dari kita yang lalu-lalang bersahaja
Tanpa usaha yang nyata

JALAN TAR,
12 OGOS 2014





Monday, July 14, 2014

WARNA



kata orang kehidupan ini berwarna
warna apa yang dipilih
warna apa yang disukai
warna apa yang diminati
untuk dipalitkan ke dalam
sebuah perjalanan hayat

namun warna alam yang tersenyum
aku membalas sejahtera
warna alam jangan pudar warna
aku mahu menghabiskan sisa riwayat
untuk warna-warna indah dalam hidupku
warna-warna yang sentiasa berdiri di belakangku
saat aku menoleh,
warna-warna yang aku rindu binar warna mereka
untuk aku tatap dingin,
warna-warna yang mengajar aku erti hidup
warna-warna yang tidak akan melepaskan aku
berseorangan dingin biarpun saat hujan jatuh menggebu

mereka ada warna-warna indah
untuk sepasang manusia tiada gundah
mereka akan sentiasa mewarnakan megah
merekalah ibu dan ayah!


Mood: untuk sejuta kerinduan yg menggebu dari anakandamu di perantauan.

buih lautan



hidup yang kumamah dewasa ini
persis buih-buih bergentayangan
di penjuru laut alam
mengikut arus pawana pantai
menari bersama desir ombak yang membadai gila
tidak takut pecah di pertengahan jalan

buih-buih kehidupan yang kukikis rapi
sama seperti laut yang menghempaskan dingin
meratap segara yang berhati walang
memang saling tidak tumpah
seperti menatap sebuah kehidupan
realitinya aku juga
sebuah buih di lautan riwayat


SEKSYEN 10, WANGSA MAJU


sebuah puisi sepi di hari jadi




selamat hari jadi Adnie Bahiah,
hari ini seperti biasa
tiada yang istimewa dan bahagia
cuma sekadar angka yang mahu melarutkan dirimu ke
alam yang lebih dewasa
hampir sesuku abad kau menghirup segar udara
yang Maha Esa,
yang perlu disyukuri, dinikmati sepenuhnya
bukan seperti menikmati secawan kopi tanpa kafein
tapi menikmati ke dasar kehidupan

sebuah puisi sunyi di hari jadi
diukir sepi dalam kejap hari
tanpa kek dan lilin
tanpa teman-teman seperjuangan
tanpa keluarga dan sanak saudara
cuma ada ALLAH di sisi,

Sebuah Puisi sepi di hari jadi,
akan terus istiqamahkan diri
menjadi seorang hamba yang sejati
kejap dan sentiasa memberi


WANGSA MAJU

Monday, June 30, 2014

sekeping gadis bunga




sekeping gadis bunga
akrabnya dia pada tulisan dan kata-kata
hanya jiwanya yang hidup pada setiap penjuru aksara
suaranya sepi seperti angin pagi
berdesir ombak dia tetap senyap

sekeping gadis bunga
yang hatinya sentiasa berbunga-bunga
bukan hanya senyuman yang ternganga
namun jawapan segala resah hatinya

sekeping gadis bunga
berkeping-keping hatinya tersenyum
dalam darah merah beku kaku
kerna tulisan jiwanya didamba
oleh segenap masyarakat dunia

maka, sekeping gadis bunga
hatinya aka terus berbunga-bunga
hingga pelosok hujung nyawanya
sampai sore senja melabuh tirainya

Tuesday, May 06, 2014

APRIL LALU TIDAK KUPEDULI



Sungguh!
april lalu tidak aku peduli
dalam remang pagi
tidak juga aku ambil peduli
kubiarkan tiga puluh hari
berlalu begitu sepi

aku ambil lagi cuti
sekadar untuk berjoli
ke sana sini
menyedapkan hati

senyum dalam tawa
terlupa ada lara
hingga april leka
baru tergadai alpa

Ah, April! maaf aku tidak peduli!


BILIK SEMINAR 7, ASWARA

SEBILAH HARI



ada beberapa bilah hari lagi
beberapa randik waktu sukar
beberapa detik masa rugi
semuanya terbuang lara

waktu yang berlalu dan jemu
omong kosong!
ku rasa nafas makin mendkit
dalam beberapa minggu sukar
dapatkah aku menjemputmu, teman?

Thursday, April 17, 2014

CEREKA SUKMA



Timbunan jutaan kelukaan
Ciritera yang menghunus bilah suci
Resah mengamit paluan erti
Sebagai mukmin kehidupan
Cereka catatan perjalanan silam

Hakikat rasa ini
Yang menyentap tangkai jiwa
Gentar dari puncak hati
Tiada kata dari gelodak rasa
Benih harap memekari rindu
Terhampar di balik permaidaini cinta

Bahtera keimanan dilayari bersama
Agar tidak tersesat di lautan ketewasan
Mundurnya tunus jihad
Sendiri tegar memecah kesunyian
Biar rekah gersang semangat
Memagari lunak kudrat

Apakah ertinya sinar aura ini
Biasa kalbu pada cermin diri
Aduh biasanya rasa ini
Semakin digilap bersinar mutiara
Akan terbongkarkan hijab
Yang dicari sukma rindu
Atau masih dibongkah fantasi.

ADNIE BAHIAH
PADANG MERBOK, KUALA LUMPUR.
Mingguan Malaysia
23/2/2014

kedekut kata



kalian kedekut kata
sungguh singkat pada bicara
entah apa yang berjela hendak cerita
langsung tidak tahu apa-apa
hanya tahu buang masa!

Segugus Sendirian




Entah apa sore ini,
kejap menunggu pulangan waktu
pada jam tujuh terlelap
sendirian dia menghadap tanah dingin
seperti binar matanya yang pilu terus menusuk ke jantung

dan dia masih segar
menatang kebinatangan manusia
usah khuatir, ada caturan percuma buat mereka
nun di hujung
dia rindu
pada waktu cerah perkampungan abadinya


PADANG MERBOK
JAM 7 PETANG

Wednesday, March 05, 2014

PANTUN KASIH SAYANG




Burung Merbah terbang di awan,
Main layang-layang di tepi sawah;
Cinta indah warisan zaman,
Kasih sayang penyatu ukhwah.

Redup malam bintang berseri,
Bulan berduka di hujung kalbu;
Sembah salam sayang penyeri,
Ingatan cinta orang rindu.

Terbang burung hinggap di dahan,
Mencari pauh ke seberang bukit;
Kurang sayang kasihmu tuan,
Kasihku dilabuh bukan sedikit.

Limau purut bunga kuaci,
Dibawa dari Tanah Merah;
Kalau turut cinta suci,
Jangan sampai hilang arah.

Dari Selasih tempat berhenti,
Naik kereta api ke Pulau Terendah;
Berjanji kasih sehidup semati,
Lautan api sanggup diredah.

Kemboja wangi seri menanti,
Dayang bersilih penghias tubir;
Hutang budi dibawa mati,
Hutang kasih manis di bibir.

Alang-alang singgah ke kota,
Harus membeli dakwat pekat;
Alang-alang sudah jatuh cinta,
Biar sampai di puncak berkat.

Dari Kampung Lukut meniti titi,
Untuk berakit ke negeri seberang;
Usah diikut merananya hati,
Rasa sakit untuk kekasih seorang.



P/s: keluar Tunas Cipta Keluaran Februari 2014