Mentari rohingya datang bertamu
memperihal atma jauh yang rindu
perasaan itu menangis
seperti kalbu yang bergerimis
kalau boleh diundur gundah masa
pasti tiada jiwa terseksa
Suara sepi bergentayangan
menjadi sebahagian nafas kehidupan
mimpi dikutip perca semalam
ia kekal berbunga suram
kenangan adalah penyeksaan jiwa
dari beberapa gambaran peristiwa
Dia mahu mematikan hati
tetapi takdir tuhan belum menjemput lagi
nyata tuhan mahu berbicara
tentang daifnya manusia
dalam lewat gerobok usia
Hari ini dia menggadai impian
meneruskan separuh hayat kehidupan
di sebuah kota metropolitan
menanti sebuah harapan biasa
dalam kata-kata luar biasa.
ADNIE
BAHIAH
PANDAN
INDAH, KUALA LUMPUR.
*tersiar di Mingguan Malaysia pada 13 September 2015