BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Monday, July 13, 2015

Bersandar Harap


(pesan daripada seorang bapa, kepada anak gadisnya tentang rasa)

Berkali-kali ayah berpesan lewat bicara,
Kalau ingin bahagia
Sandarlah jiwa
Pada tuhan yang esa

Namun aku tidak percaya
Lantas menyandarkan jiwa
Pada hati manusia
Yang tanpa sedar sedang membawa
Ke dalam larut kecewa

Berkali-kali ayah berpesan lewat bicara
Dalam perjalananku menuju dewasa
Agar bersandar harap hanya pada-Nya
Penyempurna segala mimpi dan doa

Pesan ayah di sudut penjuru telinga
Sewaktu menelefon bertanya
Seolah tahu aku sedang berduka
“ Jangan bergantung harap pada manusia
Kelak kau akan menangis kecewa
Tetapi bergantung haraplah pada tuhan yang esa
Kelak kau akan menemui makna bahagia”

Tulus pesanan seorang bapa
Kepada anak gadisnya
Yang semakin menghampiri dewasa
Tentang gundah sebuah rasa.

KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.







Mencium Tanah Abadi





Aku akan mencium tanah ini
bukan di dalam mimpi
namun paling realiti
menjadi sebahagian jiwa hakiki

Aku akan mencium tanah ini
sesudah mengenal lelulur diri
dan awal keindahan peribadi
dalam kasih kepada ilahi

Aku akan mencium tanah ini
kemas dalam dakapan-Mu rabbi!


PASIR PEKAN, KELANTAN








Suara Cinta Dedaun Kepada Rintik Hujan



Setiap waktu
tanpa jemu
dia memandang pekat gemawan dengan rindu
berharap rintik hujan luruh menggebu
membasahkan sukmanya yang bisu
bertemu
bercumbu
dan cinta datang bertamu

tanpa dia sedar
rintik hujan membawanya gusar
ranting perasaan patah tersasar
dan menjadi dedaun gugur
tandus ke dasar



JALAN TAR, KUALA LUMPUR
5 JULAI 2015


Antara Sebuah Perjalanan, Kalah Menang Sebuah Kehidupan, Sesudah Sendirian





Di sini ada pelbagai rasa
Langit yang tidak pernah hiba
Bila sering kali dirundung kecewa

Antara sebuah perjalanan
Kalah menang dalam pertaruhan
Sebuah nafas bernama kehidupan
Yang mengucup mimpi gebu
Berbalut dugaan merimbun rindu

Dan dia perlu memulakan kemanusiaan
Mendinginkan perasaan
Meneroboskan sendirian.



PINGGIRAN CEMPAKA, PANDAN INDAH.
5 JULAI 2015


Surat Cinta Kepada Rembulan


( Sebuah Ingatan, Harapan dan Kesetiaan)

Aku mencintai sepi kegelapan
Kerana dengan tangisan
Dalam penuh ketakutan
Aku keluar mencari rembulan

Tatkala aku memandang gundah awan
Ada pula tangisan hujan
Merintik di dalam dada malam
Aku hanya senyum dalam kelam
Kerana setia ini berdugaan
Menguji resah sebuah perasaan

Namun aku tidak putus harapan
Lantas menadah kedua belah tangan
Berharap hanya pada tuhan
Untuk berjumpa rembulan
Di dalam sepinya kegelapan


KENARI COURT, PANDAN INDAH
5 JULAI 2015


Wednesday, July 01, 2015

MENJADI SEBUAH CINTA HAKIKI HANYA PADA RABBI, DALAM SETIAP DETIK HATI





Sebelum menjadi abadi menemui-Mu
Aku tintakan langkah senyumanku
Ianya kian bertebaran merdu
Berpintal alunan zikir rindu

Mungkin aku hanya seorang pengadu
Tentang sebuah rasa cemburu
Tatkala kulihat yang lain merindui-Mu

Kekasih,
Aku telah menjadi maujud
Dalam segala cinta yang wujud
Menjadi sebuah hakiki
Kudus berkejap rapi.



MASJID AL-AZIM PANDAN INDAH

30 JUN 2015

B



B
Aku lukis seperti apa hatimu
Sedang kau juga telah dipojok rindu
Menjadi sebati nurani hempedu

B
Hendak ke mana kau tuntun ragaku?
Telah sekian lama berbunga lesu
Menjadi nyanyian seorang perindu

B
Setelah beberapa waktu dicipta
Keseluruhannya adalah bernafaskan cinta
Tanpa dipinta,
Ada kita

B
Kita bertaruh untuk kehidupan
Melawan takdir sebuah kesepian.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

MENULIS KATA-KATA CINTA PADA TUHAN



Tuhan,
menulis kata-kata cinta kepada-mu
adalah terapi jiwaku
membuang segala emosi kalbu
melerai segala resah liku
mendikit menjadi ketenangan rindu

Tuhan,
dengan tenang aku datang kepada-Mu
kerana sesungguhnya hanya pada-Mu
cinta yang satu.


MASJID AL-AZIM PANDAN INDAH
26 JUN 2015


HANYA CINTA ALLAH YANG ABADI






Pertuntunkan rinduku hanya untukmu rabb,
dalam makfirat rindu
yang menguntum sebuah syahdu
bertasbih memujamu
cinta yang satu

Rabb,
hanya cintamu yang abadi
hanya kasihmu yang hakiki
hanya rindumu di hati
menguntum syahdu bersemi.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




RAMADAN DAN TUHAN MENGHANTAR SERIBU KEBAIKAN




Aku menangis kerana Ramadan ini
tuhan menghantar seribu kebaikannya
yang aku rasanya sangat luar biasa
betapa dia menghantarkan sayangnya
betapa dia menghantarkan kasihnya
dan mempertuntunkan ke jalannya
kerdilnya seorang aku di sisinya

Aku menangis kerana Ramadan ini
tuhan menjawab segala persoalanku
yang membuat aku jadi kaku
betapa dia meleraikan keliru
betapa dia meleraikan waktu
dan membuatkan aku rindu
syahid di jalan-Mu.

PANDAN INDAH.




MASA DEWASA MENGAJARKAN CERITA


( Untuk Ulangtahun sesuku dekad diri)

Dalam hidup aku perlu tidak punyai rasa
untuk mengajarkan kehidupan ini sementara
aku mengundurkan diri ke belakang cuma
mengutip bekal-bekal cerita
melihat masa lalu yang bergempita
yang aku takut dengan bebayang masa

Sungguh, ketakutanku adalah dengan bebayang masa
semakin aku menghambatnya dalam hiba
dan semakin aku akrab dengan derita

Masa-masa yang berlalu
mengajarkan diri tentang banyak perkara
dalam mengejar kematangan sebuah usia


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.






HUJAN MALAM DI BULAN JULAI



Tuhan,
di malam julai
jam tiga pagi
aku rasakan rintihnya luruh menggebu
mengenai kamar usangku
kuyup kebasahan dan sendirian

Dan di malam itu,
mungkin tuhan hanya mahu
aku menadah doa dalam hiba
mengertikan makna sebuah dewasa
di penjuru sebuah kota
rasa ketakutan yang menerpa
dan harus menempuhnya rela
kerana aku telah dewasa
dalam kata-kata sementara
hayat ini pinjaman juga
jadi redah saja badai sengsara
sebelum mengenal bahagia.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.