BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Thursday, December 31, 2015

Sebuah Harapan Sebelum Abadi






Di permusafiran hayatnya
dia berjumpa pelbagai manusia
yang memberikan dia berjuta warna
menggelodakkan resah minda
menyentakkan paluan jiwanya

Namun harapan abadinya
dia hanya mahu menjadi bunga
mewangi di hati manusia
menebar haruman rasa
sebelum hayat lena
menemui Pencipta.


ADNIE BAHIAH

PANDAN INDAH

P/s: Terbit di Tunas Cipta September 2015 dan Tunas Cipta Januari 2016

PANTUN KASIH SAYANG II




Bulan malam mengekor purnama,
     Pungguk alam tersenyum malu;
Resah kelam tidak bersama,
     Dalam diam menyusun rindu.

Awal dinihari pedagang tiba,
      Di Teluk Osaki berlabuh sementara;
Hanya sanubari menaruh hiba,
      Dalam hati rindu melara.

Tanam melati dekat-dekat,
    Supaya senang dibaja selalu;
Cinta hati tetap erat,
    sentiasa tenang dalam rindu.

Hendak menjerat seekor landak,
    Umpan disisih tanpa halia;
Hidup melarat tiada berkehendak,
    Kerana kasih tetap setia.

Mengambil padi di pasir kebumbun,
    Dimakan biduk setinggi kemuncup;
Apalah hati kasih setahun,
     Kalau tidak seumur hidup.



*tersiar di Tunas Cipta edisi disember