BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Friday, December 20, 2013

MENDONGAK DI LANGIT AKAL





Mendongak di langit diri

Di hujung gemawan melambung mimpi

Sejauh mana raga berlari

Setekad itu mahu digapai

Menyerbu takdir yang Maha Tinggi



Bergulat emosi rasa menggila

Tertakjud pada tumpah wajah jelita

Kian terlarut lunak senyumannya

Rakus sanubari dicemari noda

Kelumpuhan jiwa sebuah emosi



Sebenarnya menelusi fatamorgana kehidupan

Memerlukan halaman akal kemanusian

Bukan menghitung angka kosong

Yang zulmatnya sedikit terpesong

Dari arus yang perlu diapung.







ADNIE BAHIAH

Pandan Puteri, Kuala Lumpur

Thursday, December 12, 2013

DIA PELAKON KEHIDUPAN




Berani menerjah awan anganan
Memuatka tangan-tangan pengorbanan
Bijak membeli darah dan air mata
Menghulurkan kasih tanpa dipinta

Kebaikannya meninggalkan gerimis cinta
Huluran kasihnya mengharumkan musim rindu
Pintar mengisi sepi seorang gadis
Yang terheret denyutan luka lama

Malamnya menyelongkar tirai mimpi
Menaruh suara sayang sendiri
Menelusuri ritma gelora hati
Membersihkan takungan duka duniawi

Dia pelakon kehidupan
Pandai bermain opera hayat
Hingga halaman jiwa terkabur
Mengucup bibir rembulan malam.

p/s: puisi ini tersiar dalam DEWAN SISWA edisi November 2013

Tuesday, November 19, 2013

KELAM SEKUNTUM BUNGA ALAM



Sudah lama aku tidak khabarkan rindu
Kepada sang bunga setia;
Yang sering menghindari kumbang berbisa
Yang tidak alah pada hujan gelora

Dia hanya menghadap getar embum pagi
Katanya subuh itu sunyi,
Sesudah dhuha pagi
Dia pergi
Dengan sebuah senyuman mengguguri hari.


AKu dan Sekeping cerita



AKu dan Sekeping cerita
Ada sekeping cerita
Yang diwar-warkan pada seluruh kota
Bakal menambahkan derita

Aku dan senyuman kaku
Masih mengikut rentak itu
Bolehkah bersatu
Dalam sebuah rindu?


TAPAK TALI



TAPAK TALI
Tak pak tak li
Pak tak li tak
Hahahahaha
Hidup ini seperti tapak bertali
Nafas ini seperti tali yang bertapak
pada tubuh yang berwarna merah

ini aliran kehidupan
walau siapa kau dan aku
kita tetap sama
berpijak pada bumi jua!

Tuesday, October 29, 2013

MELEWATI HASRAT



Melewati perasaan sebuah hasrat
Khilaf bertasbih dosa silam
Melodi mewarnai retak hati
Bisik sukma tersenyum mekar
Mengutarakan lafaz kata gelora sendu

Rasa mempalitkan bicara kertas jiwa
Apabila sudah bertemu
Pasti ada parut luka
Terdampar pilu di tingkap kalbu

Kenangan kejap menjalar ingatan atma
Menggigit rasa berselubung rindu duka
Setiap bait mimpi indah
Memberikan senyuman lena kalbu
Bersemi di bawa badai ombak
Diacu keikhlasan menuju destinasi

Semua berhak ke atas kehidupan!
Nada fikir yang nyata
Madah mengurindamkan keluhan makna
Menangkap bau kesengsaraan hayat

-ADNIE BAHIAH-
KL SENTRAL

Masuk utusan melayu pada 20 mei 2013

HIJAB SEORANG PENCINTA


Melimbas ruang amarah
Terkubur menjadi penjara musim
Ada lagu kehidupan dikering kontangkan
Mengikut gelora emosi
Tandus panduan hijab hati

Rakus memburu gulana cemburu
bergantung paluan sanubari resah
dikejar hingga lautan biru
sebelum jasab dan roh terpisah

sarungkan hijab ilahi dendammu
jangan menusuk hingga kalbu
tiupkan iman cantuman dirimu
biar bahagia kekal menggebu
mengatur tafakur yang luntur
tukangkan sejahtera pasrah dan akur
kekal seorang pencinta rindu
kepadaNYA tuhan yang Satu
ALLAHUAKHBAR !

ADNIE BAHIAH
KOTA BHARU

p/s puisi ini tersiar di utusan melayu pd 19/8/2013

SEKUDUS RASA




Aku mahu cinta itu sentiasa berdenyut
Dalam setiap resah nadi hayat
Aku tulis rasa perasaan yang tersenyum
Seperti senja jingga pagi
Nyaman membersihkan pelosok ilahi

Aku mahu rindu itu sentiasa bernyanyi
Dalam riuk-rendah suara sanubari
Mengukir intan pada halaman jiwa
Madah makna membuahkan rasa bahagia
Yang aku ketepikan semua resahnya.

Cinta aku adalah sepi
Menjawab persoalan hati
Yang engkau bangkitkan dari dewasa mimpi
Menyusuri lautan salju riwayat

Tidak akan menyerah pada pasungan pasrah
Denai rasa yang senantiasa menggusari
Itulah sekudus rasa yang pasti.

ADNIE BAHIAH
ASWARA, KUALA LUMPUR.

*PUISI INI TERSIAR DI DEWAN SISWA EDISI OKTOBER 2013

Thursday, March 07, 2013

Hilang



Hilang dan sepi tanpa bicara
hati berpusing gundah mencari
amat perit kehilangannya
terasa sakit merindui detik itu

biarpun aku berlari dalam arus
kosong...
biarpun aku merentas sempadan
kosong...
biarpun aku terbang ke langit biru
kosong...

kosongnya jiwa tatkala kehilangan
segala cinta kukuburkan dengannya
segala cita-cita kutanam bersamanya

namun satu yang pasti
Tuhan pasti mempertemukan kita lagi
Dalam setiap sujud aku menatap hari
bersua kembali menghalang kehilangan

#adnielaura#
Masjid Jamek,KL

Monday, February 11, 2013

FEBRUARI





Februari
Engkau datang lalu pergi
membawa seberkas harga diri
yang dibulatkan satu kesetiaan
dari ladang madu sukma

Februari
mengharungi detik itu,
melembarkan tangis perit
kata yang tak terluah jiwa nestapa

Februari
aku sedut bayu rindu
yang kau hantar pilu
aku mencapai cinta suci murni
dalam saat terindah
moga keriangan akan ditumpahkan.

ADNIELAURA
#KEPONG,KL#

Dalam Satu Mimpi


Dalam satu sudut sunyi,
kau menerpa hatiku
lalu membuaih rindu
pada pasungan duka itu.

Merentas perjalanan usia remaja bersama
engkau membawa ceria
pada hati yang sentiasa gelisah

Kekasihku,
Cinta yang disemai ikhlas
aka aku setiasa bajai rindu
agar rasa hati sentiasa berputik segar
seperti harum metari pagi
yang sentiasa menyinari bumi


ADNIELAURA
#KEPONG,KL#

Monday, January 21, 2013

HENTIAN KEESAAN





Di celah kekufuran kehidupan
Pementasan ritma hayat kaku
Menyinggahkan garapan keesaanNYA
Menerjah paluan rasa datang

Secangkir keinsafan di sebuah wakaf keesaan
Hamparan kenikmatan sentuhan paluan sejati
Menanggalkan suram lontaran jiwa
Terbaring dipeluk erat jasab
Mengejar arah berlintang dugaan

Melodi mimpi membengkak minda
Mengendong buruan waktu kabur
Debu putih laluan kesengsaraan
Waktu pudar yang mendewasakan kemanusiannya
Menerangi kalbu zalim berpaut resah
Lalu mewarnai rentak ceria sanubari


-ADNIE BAHIAH-
TAMAN TASIK PERDANA, KUALA LUMPUR
6.33 petang
(4/11/2012)

p/s: puisi ini tersiar di UTUSAN MELAYU pada hari isnin 21/1/2013 bersamaan
9 Rabiulawal 1434H

Saturday, January 12, 2013

SUATU PENYEPIAN





Di dalam pekat malam
ciater mimpi berbuih pilu
setelah Izrail mengutus salam
bila maut datang mesra menjemput

bercerailah makna kehidupan duniawi
menelusuri barzah berteman kendiri
roh dan jasad berpisah dingin
hanya diri merandai kesepian

mencatat perjalanan ke lembah pengembaraan hati
saat dihitung di perkampungan hakiki.

SEGARA BIMBANG






Getar embun pagi meledak kepasrahan
Mengiakan takdir hilang ditirai mimpi duka
Ombak kalut memujuk sagara galak
Berteriak deras memanggil tengkujuh

Segara usahlah engkau pasrah
Ada syair yang aku gubah
Mahu terus disantun ke wajah
Biar burung-burung damai melayang megah
Mahu kamu tersenyum dipuncak indah

Wednesday, January 09, 2013

SEGANU MEMORI




Ganu datang dan pergi
Datang di kala hujan
Pergi bersama sinar mentari
Hadirmu bagai keindahan bersemi
Yang menceriakan bumi dan hati
Umpama ketulusan seorang teman
Menjadi penawar di ruang sanubari
Kelimau menyeri diri bak penghidupan hakiki
Tersusun rapi sinar harapan
Menyinari bumi dengan seribu impian
Bersama memori di pergunungan pipi

Seganu memori hilang
Ditelan awan mendung berarak
Setelah mentari muncul meriah
Menerpa meninggal diri kesepian
Diambang sore hilangmu
Bersama sejuta coretan kenangan
Jujur menghiasi ingatan
Mengubah segala kenangan dan impian.