BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Wednesday, April 22, 2015

SEKUNTUM KENANGA DI TENGAH DESA



Sekuntum kenanga di tengah desa
tumbuh menjadi seorang manusia
yang memekarkan hayat merata
melara gundah manusia perasa

Sekuntum kenanga di tengah desa
Mewangikan pawana embun sejahtera

Sekuntum kenanga di tengah desa
adalah perempuan peninta kata
yang takut untuk menjadi dewasa
bersama sendu aliran cinta.






ULANGTAHUN PERKASIHAN


(UNTUK ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE-27,ayah dan mak)

Selamat ulang tahun perkasihan
Ayahanda dan bonda
Selama dua puluh tujuh musim
Lahir lima zuriat hati

Selamat ulang tahun perkasihan
Ayahanda dan bonda
Selama dua puluh tujuh musim
Menyemi ikatan hati
Melayari bahtera sanubari
Dalam susah dan senang
Dalam sihat dan sakit
Dalam jerih dan perit

Selamat ulang tahun perkasihan
Ayahanda dan bonda
Selama dua puluh tujuh musim
Mengejar reda Allah
Membina keluarga sakinah
Dalam palitan mawardah
Untuk merasai ranumnya warahmah

Selamat ulang tahun perkasihan
Ayahanda dan bonda
Selama dua puluh tujuh musim
Dalam melewati usia masa
Moga jodoh kekal ke Jannah
Dalam hakiki kasih rabbi

Amin, ya Rabb!


MAWAR PERSAHABATAN



Walau seburuk mana rupanya
Ia adalah sesuatu yang bermakna
Yang kau hadiahkan lewat senja
Di ulang tahun persahabatan kita

Mawar kuning tetap setia di atas meja
Sama seperti kita melewati usia remaja
Dan menjadikan indah sangat bermakna
Seperti harga persahabatan kita
Yang telah lama terbina

Teman,
Walau sekuntum mawar itu layu
Aku masih menyimpannya sebagai rindu
Dan menyisipkannya di halaman buku
Supaya setiap masa ada doa untukmu.

Salam rindu,
Sahabatmu,

J yuyu J

TIDAK BERUPA







Seperti mana hari ini
Yang dijanjikan mulia esok
Walau berulang kali aku datang
Dalam apa jua keadaan
Mungkin aku langsung tidak berupa
Di kamar hatimu
Mungkin aku tidak pernah berupa
Di ruang kalbumu

Jadi,
Adakah cinta itu
Ruang detik yang dihapus kira?


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH



PERAWAN RUPAWAN






Dia hanya seorang perempuan
Yang mahu menjadikan indah impian
Dalam menggamit memori hadapan
Mengejar kudus cinta tuhan

Setiap detik adalah baki kehidupan
Yang perlu diperjuangkan
Setiap masa adalah kenangan pengembaraan
Yang perlu direnungkan

Dia hanya perawan rupawan
Walau berapa abad perjalanan
Setia menunggu puspa kayangan
Menjadi bidadari syurga idaman.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

Tuesday, April 21, 2015

MELUR DI PUSARA



Semalam, dalam remang senja indah
kutanam melur di pusara Tok Ayah
dititip ikhlas bersama bacaan Al-Fatihah
dalam rindu menggebu tidak goyah
bersama meleraikan segala gundah

bonda bersoal jawab pula
kenapa bunga Melur di pusara
kenapa tidak bunga Kemboja?

aku memberikan senyuman sejahtera
kerana Melur lambang perempuan desa
yang mahu sentiasa mahu berdoa
dan dekat dengan Pencipta
aku tanam di pusara
supaya ia tumbuh subur mulia
sama seperti doa yang dibaja
dalam setiap sujud solat sempurna

untuk setiap masa,
akulah melur desa
yang tetap akan hidup di pusara
biarpun jasabnya mengembara ke kota

Hujan,
sepeninggalanku ke ibu kota
kau bajailah melur di pusara
biar ia tumbuh dewasa
dan berzikir lagu gembira
senantiasa dalam rahmatNYA


PASIR PEKAN, KELANTAN


RUANG ILUSI SEBUAH HATI





daun yang luruh 
seperti riwayat yang jatuh
dalam jasad yang tertangguh

hidup ini indah 
jika sepi dikontangkan
pada gemersik suara alam 
mendayu memanggil ritma hati
mengenali sentuhan deria rasa
dalam menggapai rembulan malam
memenuhi ruang ilusi kalbu

di situ samudera sanubari bertahta iman
sesekali merantai sisir syahdu
untuk mendiami hakikat hidup
sebuah hati peta perjalanan
yang memaku destinasi hayat
dalam rantaian bervariasi rona
bekalan dibawa pasti
bagi mengusung sebuah takdir

lembaran kemanusiaan tidak pernah ternoktah
selagi gemerlap mengiring sendu
melakar semangat tembusi jiwa
mengusung sebuah maknawi



KOTA BHARU, KELANTAN

NIKMAT HAYAT BELUM PUDAR



Setiap yang kita impikan
Tidak selalunya indah
Kesunyian mengajar kita hidup berdikari
Senyuman adalah kebahagian
Tangisan adalah kasih sayang
Kehidupan adalah kenangan

Kenangan daripada sebuah pengembaraan
Yang dipinjam nikmat oleh tuhan
Sebuah kenangan akan kekal di kota fikiran
Dan akan hidup sebagai sebuah bekalan
Untuk menghadap hari pengakhiran


TAMAN BOTANI BATU PAHAT, JOHOR



MELAMAR MALAM



Aku sebenarnya ingin mengepilkan
wajah matahari dan bulan
supaya di kesiangan tiada lagi rindu
bermain di dalam kalbu
supaya malam tiada lagi mimpi ngeri
menggeruni di dalam diri

Malam, maaf
kerana tatkala engkau bersuara
aku sedang lena
dalam berkelana

Bulan , maaf
kerana andai engkau gerhana
buat kesekian kali,
aku sudah bahagia
di samping matahari

terima kasih
engkau telah menjadi bintang terang
memberikan sentuhan hati riang.



PASIR PEKAN, KELANTAN


Wednesday, April 15, 2015

SEBUAH PUISI MEMATANGKAN SEPI



(Untuk Ulangtahun ke-8 Puisi Diri)

Hanya sebuah puisi
Mematangkan setiap rasa sepi
Mewarnakan setiap rentak hati
Melukiskan setiap gundah ilusi

Hanya sebuah puisi
Ditulis penuh ikhlas hati
Ditinta penuh kasih sanubari
Dilakar penuh sayang sendiri

Hanya sebuah puisi
Membentuk sebuah diri
Menjadi manusia berani
Penuh manusiawi
mendamba cinta ilahi.



PENGHUJUNG MUSIM SEBUAH USIA



Di penghujung musim sebuah usia
Ada sendu gelora
Yang menjadi rahsia
Biarlah urusan dia dan pencipta

Setiap randik nafas adalah makna
Dia hanya perlu menangis hiba
Di hadapan Yang Maha Esa
Untuk setiap saat dosa
Yang memanusiakan usia

Di penghujung musim sebuah usia
Dia meratib kenangan sengsara
Yang menjadikan dia sering alpa
Dalam meraih cinta setia

Rabb,
Moga dia dijauhkan azab neraka
Dan meraih syurga-Mu bahagia.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.


p/s: Puisi ini tersiar di Tunas Cipta Jun 2015

PENINTA KATA


      
Dia pemerhati musim manusia
dalam melewati bilah usia
dia melakar sebuah gelora
menyentuh indah paluan sengsara
dalam menerbangkan sayap-sayap bahagia
dengan bait-bait setia
yang penuh diksi kata

Sebenarnya dia
hanya seorang peninta kata
dan seorang perempuan biasa
yang tewas dengan gelodak rasa

JIKA AKU MENULIS



Jika aku menulis tentang cinta
Adakah kau akan merasainya?

Jika aku menulis tentang derita
Adakah kau akan mengetahuinya?

Jika aku menulis tentang rasa
Adakah kau akan menyentuhinya?

Jika aku menulis tentang kecewa
Adakah kau akan mengalirkan air mata?

Jika aku menulis tentang sengsara
Adakah kau akan hiba sama?

Jadi aku akan menulis apa saja
Kerana kau tidak akan pernah baca


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




SEKUNTUM MAWAR DI TAMAN LARANGAN



Sekuntum mawar di taman larangan
Perlu ikhlas dipetik kalau didambakan
Perlu rajin dibajai kalau diinginkan

Sekuntum mawar di taman larangan
Bukan hanya kerana kecantikan
Bukan hanya kerana keharuman
Bukan hanya kerana kesukaan

Sekuntum mawar di taman larangan
Bukan sesenang dipatahkan
Kerana durinya akan melukakan
Membawa bersama kekecewaan

Sekuntum mawar di taman larangan
Adalah warna hati seorang perempuan
Yang sentiasa didambakan
Oleh setiap Adam kehidupan.



SEBUAH RASA YANG TERTINGGAL



Di sini ada sebuah rasa
Yang tertinggal hampa
Dalam gelodak sengsara

Di sini ada sebuah rasa
Yang rindunya membara
Dalam langkah penuh ceria

Di sini ada sebuah rasa
Yang mengajarkan banyak cerita
Dalam bayu sepoi bahasa

Di sini ada sebuah rasa
Yang nyaman redup suasana
Dalam mengeja remaja

Di sini ada sebuah rasa
Yang disimpul erat tautannya
Dalam menjadi sebekas cerita

Di sini ada sebuah rasa
Yang mengejar makna dewasa



PANTAI MENGGABANG TELIPOT, TERENGGANU

SAHABAT SEJATI ADALAH DIRI SENDIRI



Kau tidak perlu mempunyai ramai kawan
Cukuplah diri sendiri menjadi teman
Di setiap simpang siur lembah kehidupan
Dalam mewarnakan sebuah pengembaraan

Keikhlasan dengan diri sendiri
Tidak akan pernah membuat kau sendiri
Malah jauh sekali sakit hati
Dari beribu hasad dengki

Seorang sahabat sejati
Adalah dengan diri sendiri.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




PERTANYAAN I



Masa depan terlalu ghaib
Untuk dipersoalkan
Untuk diterjemahkan
Untuk diberikan jawapan

Dan takdir terlalu sulit
Untuk dinyatakan
Untuk diberitahukan
Untuk dirasakan pertanyaan

Sebuah pertanyaan penuh teka-teki
Tentang persoalan hati
Tentang dirasakan sanubari
Tentang apa yang kekal hakiki.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.




PENGEMBARA MASA



Dalam rendang teduh pepohon
Dan redup pekat gemawan
Dia meletakkan diri sendirian
Sebagai pengembara kehidupan

Dia mengembara dalam masa nyaman
Yang tidak pernah berkesudahan
Dia mengembara dalam masa dingin
Yang tidak pernah berlarutan

Jadi dia memutuskan untuk bertahan
Hanya menjadi pengembara kehidupan
Yang bercinta dengan tuhan


TBS, KUALA LUMPUR – TESCO, KOTA BHARU


p/s: terbit di Tunas Cipta Edisi Julai 2015

CINTA UNTUK WIRA HATI



Selamat hari lahir ayah!
Menyayangiku dalam penuh kasih
Mencintaiku ikhlas tanpa gundah
Membesarkanku tanpa rintih goyah
Dalam rintik senang dan gelodak payah
Tetap setia tanpa madah

Si wira hatiku, ayah
Moga sentiasa dalam kasih Allah
Dalam rahmat mengejar Jannah
Sentiasa dalam doaku indah

Selamat hari lahir, ayah!
Doa puterimu yang jauh
Dalam rindu bertaut diwajah.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.



SEORANG ADAM KEHIDUPAN



Menjadi seorang adam kehidupan
Tidak perlu berwajah tampan
Tidak perlu berlagak hartawan

Menjadi seorang adam kehidupan
Perlu setia memikul bebanan
Barulah ikhlas menjadi pujaan
Dalam membelai jiwa perempuan

Menjadi seorang adam kehidupan
Perlu teguh cinta tuhan
Berbekal takwa dan iman
Menjadi contoh dan tauladan
Buat penyuluh keturunan
Dan menjadikan diri pedoman
Pada setiap sudut zaman.

SEBUAH RINDU YANG JATUH



Dia ditanya mereka,
Tentang bagaimana
Dengan rindu yang jatuh dalam jiwa
Adakah akan menumbuhkan derita?

Dia memberikan jawapan nyata,
Rindu yang jatuh dalam jiwa
Membuatkan hati sengsara
Dibalut ngeri hiba
Dipintal pilu duka
Menanahkan lopong-lopong luka
Yang membiarkan terus merana

Mereka diam tidak bersuara
Kerana faham erti makna
Sebuah rindu yang jatuh ke dalam jiwa
Rupanya mengundang kecewa.


BANDAR TASIK SELATAN, KUALA LUMPUR.




Sunday, April 12, 2015

PENGGEMAR PELANGI








Kamukah sejalur pelangi gundah?
Sesudah usai hujan luruh
Perlahan-lahan kamu tumbuh
Pada kaki langit teduh

Aku lihat warnamu cerah
Dalam terbentang jalur tujuh
Memancarkan segala pilu bergemuruh
Pada paluan awan indah
Membubarkan rindu bermadah



KG BUCIT, TANAH MERAH.

SEBUAH PINTU



Jika sebuah pintu terkunci
Bagaimana untuk kamu tembusi?
Sedang kamu tidak punya kunci
Untuk membukanya sepenuh hati

Pintu itu berkunci
bukan untuk kamu masuki
dan kamu perlu berpatah kembali
mencari yang lebih sudi
mencipta bersama kenangan hakiki
makna mendalam sebuah diri



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH

Thursday, April 09, 2015

HARAPAN ABADI






di permusafiran hayatnya
dia berjumpa pelbagai manusia
yang memberikan dia berjuta warna
menggelodakkan resah minda
dan paluan rasa jiwanya

namun harapan abadinya
dia hanya mahu menjadi bunga
yang mewangi di hati manusia
menebar debunga sebelum hayat lena


p/s: Terbit di Tunas Cipta September 2015




RANUMNYA SEBIJI EPAL




Benarkah cinta itu seperti ranumnya
sebji epal?
yang manisnya boleh dirasa
hingga ke pangkal deria
dan jatuh lusuh ke dalam jiwa

katanya,
tidak semua epal itu manis rasa
sama seperti cinta
boleh jadi ia beracun sengsara
dan membuat kau sentiasa lara
menggebu air mata
dalam kehangatan derita

jadi dia memutuskan untuk tidak merasa
sebiji epal yang ranum manisnya
kerana tidak mahu terdampar kecewa

dan di sini, dia berlari jauh dari rasa
Sedang kecewa makin mengejar akrab jiwa.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

PUISI ITU CINTA PERTAMA



Kalau boleh digadai perasaan
Dia tetap akan menolak
Kerana saat dia belum mengenal tulis baca
Puisi telah mendampinginya
Menjadikan dia seorang manusia
Yang lebih tulus meninta
Dan lebih setia pada patah kata
Di dalam ranumnya bahasa
Di dalam gelap gelita
Puisi adalah yang utama

Puisi itu cinta pertama
Masakan dia akan lupa
Puisi menjadikan dia
Seorang manusia
Yang lebih akrab dengan pencipta



PERTANYAAN JIWA







Sedang onak fikirnya berderia rasa
Diulang tanya pertanyaan jiwa
Dan dia harus memilih antara dua
Antara menggebu rindu atau menunggu setia

Dia termangu resah lewat perasaan
Dia diberi dua pilihan
Dari terus berperasaan dungu
Samaada rindu atau menunggu

Dia lantas memilih menunggu
Kerana menunggu itu lebih
Ikhlas dari rindu
Kerana menunggu dia lebih
Untuk setia dengan perasaan

Walau dalam lewat masa
hingga senja bertamu
dia tetap menunggu
kerana yakin rasanya
akan bersatu.





YANG AKU PUNYA HANYA SEPATU



Yang aku punya hanya sepatu
Tidak bernilai berjuta ribu
Hanya untuk melindungi kakiku
Daripada lumpur dan debu

Yang aku punya hanya sepatu
Menemani setiap gelora waktu
Saat aku rebah dan kaku
Di sepanjang perjuangan hidupku

Yang aku punya hanya sepatu
Tetap terus setia bersamaku
Dalam pelbagai lorong duri berliku
Menjadikan aku seorang aku


PULANG KE NEGERI CINTA



Kekasih,
hari ini aku kembali ke negeri cinta
tanah serendah sekebun bunga
tempat aku membesar ceria
segugus ingatan zaman kanak-kanak menerpa
menggebar hingga ke alam remaja
yang sentiasa mengalunkan lagu-lagu gembira

Aku kembali ke dakapan rindu keluarga
ke pelukan kasih sanak-saudara
menemui sahabat-sahabat lama
saling bertukar cerita
dan menitip khabar gembira

kekasih,
maaf, aku pulang tidak lama
kerana harus meneruskan kembara
dan perjalanan sebuah usia
dalam melebar sayap-sayap dewasa
ke sebuah wilayah di ibu kota
untuk menjadi manusia berjaya




kekasih, tunggu aku pulang!