BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Thursday, November 24, 2011

PANTUN BUDI BAHASA




Dari negeri Pulau Selasih
Diberi raga oleh Datuk Bendahara
Dilihat berseri dipandang kasih
Santun dijaga budi dipelihara

Pokok redah pokok jati
Pulau Daik jadi sebutan
Bahasa indah lagi berseri
Budi baik jadi ingatan

Tanam ubi rapat-rapat
Biar tiada dinaik lalang
Santun budi dekat-dekat
Bicara kata disayang orang

Pergi Pulau Sekati menumpang orang
Hadiri jamuan makan-makan
Hutang budi tidak hilang
Menjadi kenangan sepanjang zaman


Pergi ke China menempah sutera
Singgah di Kemboja membeli serati
Budi bahasa ketika berbicara
Menjadi tanda mulia pekerti


Ruak –ruak hinggap di pohon nangka
Terbang bersama si ayam hutan
Jangan bercakap melepas kata
Kerana bahasa adalah intan

Di dahan rapuh hinggap burung kedidi
Lalu jatuh ke pohon ara
Sungguh indah cantuman budi
Untuk hidup lebih sejahtera.

Anak desa merantau seberang
Naik basikal terkena jerat
Jikalau ada budi berhutang
Mintak halal dunia akhirat.






P/S:Keluar tunas cipta edisi 0gos 2011



BEBAYANG PERSAHABATAN




(Kata Cinta & Cecita Kita!)

Di dalam kekelaman langit dinihari
Terbayang duka resah kerinduan
Sepi menantinya fajar menyising

Mengeluh memandang julai rapuh
Gugurnya dedaun kering
Mengutip kembali detik coretan
Erti persahabatan yang hidup abadi.

Namun hilang menyembah bumi
Di sebalik pelangi senja petang
Semuanya dijemput pergi
Menuju satu destinasi yang pasti

Oh mentari!
Sinarilah terus bebayang persahabatan ini
Biarkan ianya terus hidup subur di hati
Dan berpaut kukuh di dalam sanubari
Dengan senyuman sinar sejati.

Catatan rindu kesementaraan hayat



Hayat kesementaraan tertunda
Diundang paluan rasa dendam
Dia pemberi kemesraan
Kerdipan bintang tiada bererti

Lautan ribu rasa alpa
Mendatar angan tanpa sedar
Guguran bungaan terpisah ngeri
Ditunggangi cerahan warna mimpi
Bermonolog dari asasi rindu
Keangkuhan menghinggap pintu hati

Walaupun susunan saat berlalu
Biar angin rindu menderu
Kasih kita masih bersatu
Jangan biar embun sayang terpinggir berguguran
Tiada lagi air mata pilu menggundahkan kalbumu.

TAKDIR ATAU SEBUAH MIMPI




Sepi yang aku rebahkan
Pada kalbu dan dasarnya
Bersemi lagi menghambat hati
Memenuhi ruang majazi hayat

Ingin bebaskan takdir mimpi
Usaikan resah berpasung di lubuk dada
Terus memendekkan rintih resahnya

Adakah asing sebuah duka yang kukejarkan ini?
Dibiarkan berona melukis sepi sendiri
Membentangkan langit sukar dan sengsara sanubari
Lidah takdir menjalar menuruni pelangi waktu
Yang tetiba hadir kala hujan hati menangis sendiri.


Mengucup Sepasang Tubuh Kedewasaan






Mesra menjengah bayangan masa
Jarum berputar ke arah sudut rahsia
Perjalanan menjejak dari langkah bebayang keremajaan
Rimbunan kepastian mempalitkan senyuman
Akhirnya sepasang tubuh mengucup dewasa
21 musim menjenguk fatamorgana kehidupan

Kebahagian membungkari sauh hayat
Memegang indah sayap keriangan
Berlari membelah selautan sayu
Melatari kesementaraan tubuh dingin

Minda riak fikir menafsir
Persimpangan alur kotak kehidupan
Pesan ibu jangan menadah kecewa
Kepada yang menjanjikan mimpi-mimpi manis
Kasih di atas kaca ingatan kesengsaraan
Pesan ayah jangan bebas berbekas derita
Daripada belai dan pujuk setia
Cinta di bawah lampu khayalan duka.

Tersenyum melihat nasihat manja mereka
Esok mendongak ke ruang baru hari
Tidak akan sepi mendaki mengenal diri.

p/s:Puisi sempena ulang tahun kelahiran pada (22 Zulhijjah 1411H) pada tahun 1432H