BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

DIAN DIRI



 Nurul Adnie Bahiah Binti Zahaba dilahirkan pada 14 Julai 1990 di Hospital Sultanah Nur  Zahirah, Kuala Terengganu merupakan lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam Penulisan Kreatif .
         Memulakan kembara penulisannya sejak di bangku sekolah menengah lagi apabila terpilih ke Perkampungan Penulis Muda Bersama Sasterawan Negara peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2007. Seterusnya menyertai beberapa bengkel penulisan anjuran Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Persatuan Penulis Negeri Kelantan (PPK). Juga merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 2008 serta mengikut bengkel penulisan novel remaja di Bagan Lalang pada tahun 2013.
         Beliau telah menerbitkan sebuah kumpulan puisi remaja, Cerita Lima Bulan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2014 dan novel remaja Bening Mata Seorang Dia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2019. Karyanya seperti cerpen, puisi dan pantun pernah tersiar di dalam akhbar dan media arus perdana antaranya Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Tamadun Islam, Berita Harian, Utusan Melayu, Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Majalah Remaja. Selain itu beberapa puisi beliau telah termuat di dalam beberapa antologi antaranya Antologi Puisi Guri terbitan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Antologi Puisi dan Cerpen Bah Kuning terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Antologi Puisi Bahtera Peradaban terbitan Majlis Peradaban Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Antologi Puisi Jemari Angin terbitan Persatuan Penulis Terengganu (PELITA), Antologi Puisi Bila dan Ketika terbitan Penyair Terengganu dengan kerjasama Persatuan Penulis Terengganu. Antologi Puisi Hati Penyair Kelantan terbitan Persatuan Penyair Malaysia Cawangan Negeri Kelantan (PENYAIR).  
Sepanjang berkarya, beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI II) menerusi dua cerpen remaja eceran iaitu Pemburu Malam Delionic dan Sisir. Memenangi Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI III) menerusi puisi Perempuan yang Mengirim Rindu dan cerpen Malam Kuda Kepang. Manakala Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015 menerusi cerpen eceran Pemburu Malam Delionic. Puisi beliau berjudul Mengguntur Hakikat telah memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi FB GEMA 2016 anjuran JKKN Kelantan dan GEMA.