BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Tuesday, May 17, 2016

TAKDIR YANG SALAH



perempuan itu berkeluh
akan takdir yang salah

“ takdir yang salah bersama kita,
mewujudkan sebuah lara cinta”

dan perempuan itu menyapu air mata pilu
untuk membunuh semua rindu
agar luruh direntap waktu.


KAMAR IMPIANA, PJ
17/5/2016


NOTA DI DALAM KATA-KATA



saat aku berpayung dari panas mentari
dalam perjalanan ke kedai kopi
di hujung meja aku menulis puisi
sambil kejap memegang sebuah nota
di dalamnya riuh suara kata-kata
bergelimpangan di minda menjadi cinta

tetapi aku hanya mahu menghirup bau kopi
bau-bau keresahan yang melekit pada diri
dan kata-kata di kepalaku menjadi puisi

saat berperang dingin dengan kata-kata
ia telah membunuh kesepianku yang renta
ada kopi dan puisi menjadi haruman setia
mendikit di dalam hangatnya resah dada


OLD TOWN WHITE COFFE, PJ
16/5/2016


GERIMIS KELMARIN






lupakah kau pada gerimis kelmarin
saat salam kau masih terkirim
oleh bayangan rindu
yang figura tubuhnya bisu

kau lupa mendongak langit hari ini
segalanya kelam dalam dini
tali hanya pengikat janji
yang berkulum terikat belum pasti

janganlah kau merayu seperti pengemis
biarlah tubuh basah terkena gerimis
daripada mata bengkak kerana menangis.


KAMAR IMPIANA, PJ
17/5/2016

Friday, April 15, 2016

LEMBARAN HARI LALU





Lembaran hari-hari lalu
buat dia teringat akan waktu
dibidas beberapa persoalan rindu

dia penyaksian kehebatan
suara-suara keadilan
tentang rasa dan ketaatan

sumpahan mentari yang kelam
akan kekal terbias suram


KAMAR IMPIANA, PJ
15/4/2016


PANTUN BAHASA BERKAIT



Sayang kencana emas suasa,
      Dicari laksamana di Pekan Selasa;
Jantung nusa adalah bahasa,
      Roboh bahasa tiadalah bangsa.

Dicari laksamana di Pekan Selasa,
       Pohon bidara si bunga tanjung;
Roboh bahasa tiadalah bangsa,
       Kerana bahasa budi dijunjung.

Pohon bidara si bunga tanjung,
       Baunya wangi hingga ke Bentan;
Kerana bahasa budi dijunjung,
       Harga nilai seorang tuan.

Baunya wangi hingga ke Bentan,
       Bunga melati di tengah desa;
Harga nilai seorang tuan,
      Terpaut hati pada bahasa.

Bunga melati di tengah desa,
      Buat warkah orang tersayang;
Terpaut hati pada bahasa,
      Warisan indah nenek moyang.



p/s: terbit di dewan siswa edisi April 2016

Friday, April 08, 2016

BERADA DI NEGERI KESUNYIAN



Setelah ingatanku basah menjadi puisi
Tiada lagi yang tertinggal di hati
Dalam rangkaian kata-kata
Ia adalah suara yang saling berdusta

Ada sisa ingin memeluk tubuh matahari
Bergelandangan di minda siang hari
Seperti titik-titik kosong
Yang jatuh melengkung
Tidak pernah bergerak
Walau hanya sejarak

Benarlah,
Ia tentang kekalahan
Yang tersungkur kelelahan
Aku berada di negeri kesunyian
Dan hatiku abadi bersama hujan.



8/4/2016

KEMBALI MEMERHATI SEMALAM



Aku kembali memerhati semalam
Tentang hal lewat yang sudah terpadam
Aku lihat lembaran tulisan
Tentang hal diri yang kenyataan

Aku gerakkan memori perjalanan
Seindah nafas ciptaan tuhan
Aku mahu menghirup kemanusiaan
Untuk setiap sudut zaman.


KAMAR IMPIANA,PJ
8/4/2016