BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Tuesday, June 05, 2018

ULANG TAHUN DIRI






ketika melewati kenangan-kenangan
mencurah di sebalik dingin debu
gambar-gambar kedewasaan bertamu
tentang kesepian yang mengurung hati

setiap ulang tahun diri
kita lebih memilih sepi
bergentayangan menari-nari
sendiri.

atau seperti kita menanti hujung hujan
yang tidak pernah basah
jatuh menghurai ke tanah

pada getar rasa yang terakhir
adalah nafas langit di atas air
resah yang terseksa di dada
bulan yang kita rangkul di riba
tersimpan pekik rindu nestapa
untuk memintal cinta dari segala makrifat
akan terus menampung hayat
sebelum kita menjadi lubuk hakikat

yang paling abadi
yang lebih nyaman bersemadi
di sisi ilahi.


           
ADNIE BAHIAH,
PETALING JAYA.

p/s: tersiar di Tunas Cipta Jun 2018

Tuesday, January 02, 2018

SORE DALAM SERIBU PUISI




Seperti matahari, buana dan bayu
yang mengisarkan persoalan rindu
kita tersisip di sepasang
sayap kelabu
mengukir keberadaan
beberapa musim menderu

saat kita melewati sungai waktu
dan ketika berkelana
mengayuh kehidupan lalu
engkau menerobos
bayang-bayang bersamaku
memasuki mataku
dengan langit birumu

hatimulah yang
memancarkan seluruh
senja ilusi
mendekat di dalam mimpi-mimpi.


ADNIE BAHIAH
PUTRAJAYA.

p/s: Puisi ini terbit di Berita Harian pada 31 Disember 2017

Monday, December 04, 2017

DALAM SETIAP KALBU, HANYA UNTUK-MU



Rabb,
Dalam dinihari
Aku hanya mahu menjadi kekasih-mu
Bermunajat dalam rindu keagungan-mu
Dalam pelukan waktu,
Hanya untukmu
Biarlah air mata luruh menggebu
Dalam syifa asma ul-husna-mu
Merasa dekatnya dengan kalbu

Rabb,
Betapa tangisan itu rindu
Hanya mahu menjadi kekasih-mu
Dalam-dalam musim yang tiada pilu
Aku tinggalkan jejak nafasku.


ADNIE BAHIAH

 PANDAN INDAH, KUALA LUMPUR

P/S: tersiar di dewan tamadun islam edisi Disember 2017

Friday, July 14, 2017

PUISI ULANG TAHUN DIRI



setiap ulang tahun diri
kita lebih memilih sepi
bergentayangan menari-nari
sendiri.

atau seperti kita menanti hujung hujan
yang tidak pernah basah
jatuh menghurai ke tanah

moga cinta dari segala makrifat
akan terus menampung hayat
sebelum kita menjadi lubuk hakikat
yang paling abadi
yang lebih nyaman bersemadi
di sisi ilahi.


KAMAR IMPIANA, PJ

14/7/2017

Tuesday, May 09, 2017

WAKTU DAN DETIK PERJALANAN




Di sebahagian tubuhku
adalah kenangan
yang sedang merawat 
duka sepinya sendiri
wajahku dibalik
gerigi sepi sayup-sayup
berkecamuk mempersonakan 
perjalanan hidup
sebuah senyumanku 
yang diletakkan di balang kaca
bila-bila masa akan
dipecahkan memori usia.

Seluruh waktu
adalah kesepianku
biarpun resah perasaan semakin luruh
hati makin dekat kepada yang menjauh

Tuhan,
aku masih ingin cantik,
untuk hidup yang beberapa detik.


ADNIE BAHIAH

PETALING JAYA.

p/s: Tersiar di Berita Harian 7 Mei 2017

Thursday, March 09, 2017

Ingatan Mac Kepada Februari



Feb,
tiada puisi lagi untukmu
Sehingga mac menegur hari itu
Senyumannya ghairah, aku tersipu malu
Ia masih bertanya tentang puisi masa lalu

Mac
Hari ini sunyi masih lagi berteleku,
puisiku masih basah diragut rindu
Aku ingin menulis puisi lagi
Supaya suara sepiku tidak menjerit sunyi

Mac
Hari ini aku basah kehujanan
Kesejukan dalam kesunyian
Seperti mendatar sebuah perasaan

Mac
Engkau masih tidak membuka pintu
Sudah beberapa hari aku melewati kamar tidurmu,

Mac
Malam ini tiada puisi yang menari-nari 
Didalam minda sepi
Ada cuma sebungkus hati
Jauh untuk kembali

Mac
Sembilan purnama rindu itu jatuh

Bertakung.


KAMAR IMPIANA PJ
9.3.2017

AKU MENJADI ABADI




Setiaku menunggu bulan yang jauh
Agar suara hatiku nanti masih berbunyi riuh
Ketika kata-kata jatuh
Aku tidak sempat berteduh
Melarikan diri dari hujan yang luruh

Aku masih di sini
Setia sepi
Di dalam baris puisi
Kata-kata berkubang menusuk hati
Bayangnya bersembunyi
Resahnya bercampur baur
Kenangan bertabur
Aku pulang membawa sebahagian yang belum sempat dimiliki

Ketika bulan tak mampu lagi kurangkul
Carilah aku di dalam puisi
Kerana di situ jiwaku abadi
Menjadi puisi-puisi.


KAMAR IMPIANA, PJ
p/s: terbit di tunas cipta edisi disember 2017