BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Tuesday, June 30, 2015

AKSARA DOA UNTUK TUHAN




Tuhan,
Bolehkah?
Dalam munajat ini aku menulis doa
Sebuah kalungan yang bertinta
Yang hanya bersatu setia
Aku menghadapmu sebagai hamba
Yang tidak sempurna

Dan malam merintih doa
Kepada Engkau yang selalu ada
Menghantar segala kasih dan cinta
Pada setiap kehidupan menuju dewasa

MASJID AL-AZIM PANDAN INDAH

26 JUN 2015 

SAAT MENGIDAMKAN KESEMPURNAAN DARIPADA SEORANG LELAKI YANG BERNAMA SUAMI



Pasrah
Gundah
Namun tetap menanti
Di balik jendela sepi
Yakin dengan ketentuan ilahi
Dalam pementasan sebuah kehidupan hari
Untuk ke satu destinasi

Teruskan hidup dengan suci
Kerana bahagia pasti menanti.



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.

RAHSIA-NYA






Ini malam
Penuh dengan zulmat
Makin kelam
Ke dalam garis penamat

Dan bagaimana jika ini kali terakhir
Kau menadah tangan dan mengangkat takbir?


HOSPITAL SUNGAI BULOH.


DI SUATU SUDUT SUBUH SUNYI, YANG ADA CUMA SEKEPING HATI SEBUAH SEPI


(I)
Hanya mimpi yang dihantar lewat dinihari
masa yang menghambat sebuah takdir sepi
dia terjaga dan semangatnya tiada
yang ada cuma rasa yang menyusahkan
untuk dia fikir sebuah kehidupan
yang perlu dia teruskan,
bagaimana semangat jiwanya menerpa
dalam membelah sebuah keinginan nyata

(II)
Di suatu sudut subuh sunyi
di kawasan penuh ngeri
yang ada cuma sebuah sepi
dalam warna sekeping hati
resah rasa makin mengakrabi
membentuk nurani sebuah mimpi

(III)
Dia mungkin adalah hujan yang mencurah
menjadi aspal-aspal berhati basah
dan kekal berdebunga gundah.

ADNIE BAHIAH
PANDAN INDAH


p/s: alhamdullilah, terbit di Mingguan Malaysia pada 28 Jun 2015.

Tuesday, June 23, 2015

MAAF, MUNGKIN AKU BUKAN PENYEMPURNA MIMPIMU



(KEPADA h)

Maaf untuk pagi kelmarin
Yang engkau masih tetap setia menungguku
Namun aku langsung tidak datang
Untuk menyempurnakan bahagian mimpimu
Melunaskan seberapa kerat janji

Sedangkan kau mahu lihat senyumanku
Yang belum kau jumpa dibalik minggu
Kau resah termangu di situ
Menunggu seberapa berjalannya waktu
Dan aku tetap juga tidak datang menemuimu

Maaf, aku bukan penyempurna mimpimu
Dan adakah kau akan tetap terus menunggu
Dalam berjalannya tinta waktu
Biarpun aku kekal terus membisu?

PADANG MERBOK, KUALA LUMPUR

16 JUN 2015

ANTARA SEMANGAT YANG TIDAK PUTUS!





Tuhan,
Adakah sesudah menggeledah letih
Akan hadir sinar yang tidak mengusutkan minda
Jiwa yang tenang
Dan semangat yang tidak pernah pudar
Dalam aku menjadi musafir kehidupan
Dalam aku berjalan untuk tidak tewas
Dengan resah perasaan

Tuhan,
Teguhkan hatiku
Seperti pawana yang tidak terlihat
Namun kejap dan kuat
Melawan segara gelora-gelora musim sendu

Tuhan,
Seperti menggeledah nurani malam
Kuatkan kalbuku untuk cinta-MU
Hanya cinta-MU


RAMADAN SEORANG PEREMPUAN DI PERANTAUAN



Menjadi seorang perantauan
Menyepi di sudut sendirian
Mengajarkan tentang banyak perasaan
Dalam memaknai sebuah kehidupan

Tuhan,
Dalam mengejar nikmat Ramadan
Aku hanya seorang perempuan
Moga akan hadir segala kekuatan
Dalam menempuh sebuah penghidupan

Kenapa perlu takut sendirian?
Sedangkan aku ada tuhan
Dan tiada nikmat pernah didustakan.

“ Cukuplah Allah bagiku,
Tiada tuhan melainkan DIA, kepada-NYA
Aku bertawakal” At-Taubah:129