BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Friday, April 15, 2016

PANTUN BAHASA BERKAIT



Sayang kencana emas suasa,
      Dicari laksamana di Pekan Selasa;
Jantung nusa adalah bahasa,
      Roboh bahasa tiadalah bangsa.

Dicari laksamana di Pekan Selasa,
       Pohon bidara si bunga tanjung;
Roboh bahasa tiadalah bangsa,
       Kerana bahasa budi dijunjung.

Pohon bidara si bunga tanjung,
       Baunya wangi hingga ke Bentan;
Kerana bahasa budi dijunjung,
       Harga nilai seorang tuan.

Baunya wangi hingga ke Bentan,
       Bunga melati di tengah desa;
Harga nilai seorang tuan,
      Terpaut hati pada bahasa.

Bunga melati di tengah desa,
      Buat warkah orang tersayang;
Terpaut hati pada bahasa,
      Warisan indah nenek moyang.



p/s: terbit di dewan siswa edisi April 2016

Friday, April 08, 2016

BERADA DI NEGERI KESUNYIAN



Setelah ingatanku basah menjadi puisi
Tiada lagi yang tertinggal di hati
Dalam rangkaian kata-kata
Ia adalah suara yang saling berdusta

Ada sisa ingin memeluk tubuh matahari
Bergelandangan di minda siang hari
Seperti titik-titik kosong
Yang jatuh melengkung
Tidak pernah bergerak
Walau hanya sejarak

Benarlah,
Ia tentang kekalahan
Yang tersungkur kelelahan
Aku berada di negeri kesunyian
Dan hatiku abadi bersama hujan.



8/4/2016

KEMBALI MEMERHATI SEMALAM



Aku kembali memerhati semalam
Tentang hal lewat yang sudah terpadam
Aku lihat lembaran tulisan
Tentang hal diri yang kenyataan

Aku gerakkan memori perjalanan
Seindah nafas ciptaan tuhan
Aku mahu menghirup kemanusiaan
Untuk setiap sudut zaman.


KAMAR IMPIANA,PJ
8/4/2016


Monday, March 21, 2016

Malam ini tentang puisi, kekasih!



Malam ini tentang puisi
yang memberikan nafas seisi
tentang sebuah kesunyian yang paling dalam
seperti rintih nafas yang terpendam

diselami oleh hujan yang mencurah
seperti air mata gundah
aku utuskan surat kepada hujan
supaya dapat berbagi puisi denganmu.


KAMAR IMPIAN, PETALING JAYA

Gadis mukabuku di tubir matamu







Saat telefon bimbitmu berdering laju
Kau berlari di sudut penjuru

Engkau curang
Memaknakan sayang

Hey, aku lihat
Ada gadis mukabuku
Di celah tubir matamu
Dan gadis itu
Bukan aku

Untuk kesekian kalinya
Hatiku dilanda gerhana
Untuk cintamu yang sederhana.



OLD TOWN, PJ


Thursday, February 11, 2016

Engkau yang sering bertanya tentang setia





Engkau bukan?
Yang sering menegurku dalam gebar mimpi
Bertanya sukma tentang setia

Seperti setia,
Hujan yang melimpahkan rasa
Yang tidak letih menunggu reda
Berteduh pada payung sementara
Menghitung rintikmu di jendela
Senantiasa,





Kamar Impiana, Petaling Jaya,
5/2/2016


Setelah hati menjadi puisi, dan sukma terus sepi


Hari ini
Aku terdiam
Memikirkan tentangmu
Watak-watak yang ingin luput
Dari penjuru kotak fikirku

Aku kembali
Menukang puisi
Menghirup patah-patah hati
Dalam sudut sebuah sunyi
Pada waktu malam hari

Dan hujan yang sekejap
Menghantar perasaan yang kedap
Tentang aku yang masih di dinding harap
Bersama hati yang terperangkap

Seperti membuat puisi
Yang tidak jadi
Mengoyakkan kertas dan memandang sepi
Lantas memandang kalender hari
Tanpa sedar aku menangis sendiri

Aku tetap si hodoh yang jelik
Yang selamanya dipandang pelik.





Kamar Impiana, Petaling Jaya,

5/2/2016