BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Sunday, January 10, 2016

BERBAGI SUNYI



Kita berbagi sunyi bukan?
dalam kesepian kita menari
dalam kerinduan kita menyanyi
bersama-sama mengalunkan kisah cinta
yang berterusan ada kita

Kita berbagi sunyi bukan?
mengukirkan senyuman bahagia
dalam lirikan mata hingga
ke perdu jiwa

Kita berbagi sunyi bukan?
padanya ada atma gelora
dan kita larut ke dalamnya

Kita terus berbagi sunyi
sehingga kita belum selesai
mengenal makna hakikat diri.


Teratak Impiana,
Petaling Jaya

KISAH SI PENCURI EPAL DI LORONG GELAP


(I)
Di sebuah lorong gelap
Si pencuri epal ditangkap
Hampir ditetak, hampir ditembak
Lumrah hidup yang padat
Nyawanya hampir terjerat
Kerana kesalahannya sangat berat

(II)
Dia tidak dijatuhi hukuman
Kerana disahkan tidak siuman
Oleh semua para budiman
Dia dilepaskan tanpa saman
Dan apa dilakukannya bukanlah kesalahan

(III)
Kerana menjadi pencuri epal itu
Dia menyimpan berpuluh ribu
Akan manis kata-kata
Yang sememangnya penuh dusta
Dalam sebuah kehidupan yang nyata.

(IV)
Dan si pencuri epal tersenyum sinis
Hanya dia merasa epal yang manis.

ADNIE BAHIAH
TAMAN JAYA, PETALING JAYA.



*tersiar di Mingguan Malaysia pada 10 Januari 2016

Thursday, December 31, 2015

Sebuah Harapan Sebelum Abadi






Di permusafiran hayatnya
dia berjumpa pelbagai manusia
yang memberikan dia berjuta warna
menggelodakkan resah minda
menyentakkan paluan jiwanya

Namun harapan abadinya
dia hanya mahu menjadi bunga
mewangi di hati manusia
menebar haruman rasa
sebelum hayat lena
menemui Pencipta.


ADNIE BAHIAH

PANDAN INDAH

P/s: Terbit di Tunas Cipta September 2015 dan Tunas Cipta Januari 2016

PANTUN KASIH SAYANG II




Bulan malam mengekor purnama,
     Pungguk alam tersenyum malu;
Resah kelam tidak bersama,
     Dalam diam menyusun rindu.

Awal dinihari pedagang tiba,
      Di Teluk Osaki berlabuh sementara;
Hanya sanubari menaruh hiba,
      Dalam hati rindu melara.

Tanam melati dekat-dekat,
    Supaya senang dibaja selalu;
Cinta hati tetap erat,
    sentiasa tenang dalam rindu.

Hendak menjerat seekor landak,
    Umpan disisih tanpa halia;
Hidup melarat tiada berkehendak,
    Kerana kasih tetap setia.

Mengambil padi di pasir kebumbun,
    Dimakan biduk setinggi kemuncup;
Apalah hati kasih setahun,
     Kalau tidak seumur hidup.



*tersiar di Tunas Cipta edisi disember

Thursday, November 26, 2015

DI SUATU SUBUH, HATI MENJADI LULUH





Di suatu subuh
Hati menjadi luluh
Menjawab pertanyaan sebuah muhasabah
Bagaimana jika kita menjadi
Pengembara yang sesat
Sedangkan kematian tidak menunggu
Walaupun sesaat

Kita terlupa untuk hal yang sederhana
Kerana kita terlalu asyik mengejar sempurna.

Saturday, November 14, 2015

PEREMPUAN YANG MENGIRIM RINDU ii



Dia mencintai hujan
Walhal dia takut kebasahan
Hujan adalah perkara biasa
Bukanlah hal yang menyeksa

Antara mencintai matahari dan
Merindui pelangi
Mungkin dia adalah perempuan
Yang lebih memilih sepi
Sebagai teman sejati
Dan dia adalah perempuan yang lebih
Memilih sebuah sunyi
Dari keriuhan hatinya sendiri

Dia hanya perempuan
Yang mengirim harapan tidak terlayang
Mengirim rindu pada tuan tiada bayang


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.



AKU ADALAH SEBUAH SESUATU





Aku adalah sebuah pelita
Yang ingin engkau padamkan sementara
Walaupun hatiku menganggapmu puspa

Aku adalah sebuah lagu
Yang benar engkau rindu
Walapun mindaku berselirat keliru

Kerana puisi adalah doa-doa cintaku
Suara rahsia dalam kalbu
hanya wujud di kesepianku



KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH

14 NOVEMBER 2015