BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Saturday, April 04, 2015

DALAM DOA DIMAKBUL TUHAN



Dia sangat percaya
Doa-doa yang dihantar lewat hari
Bakal dimakbulkan oleh tuhan
Kerana doa adalah perantaraan
dengan tuhan

Dan dia ikhlas meminta doa
Supaya hidupnya sentiasa sejahtera
Dari segala badai sengsara
Dan sentiasa dilindungi alpa

Doanya malam itu dimakbul tuhan
Kerana dia ikhlas dengan keadaan
Bukan ralit meminta tanpa usaha
Kerana tuhan sentiasa ada
Untuk hati yang meminta dengan nyata

Tuhan,
Terima kasih untuk sebuah nikmat
Yang tidak pernah didustakan.


“ Sekiranya dia tidak segera mendapat nikmat dari tuhan-nya, pastilah dia dicampak ke tanah tandus dalam keadaan tercela”
 Surah Al-Haqqah, Ayat 49






KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH.
3 APRIL 2015


SEPUTIH LUKISAN HATIMU, IBU



Bolehkah aku menjadi sepertimu, ibu?
hatimu suci berdebu rindu
seperti putih lukisan kalbu
dalam lebaran ingatan selalu
dan sentiasa menitipkan doa syadu
untuk semua anak-anakmu
walau mereka jauh dari pandanganmu
namun sentiasa dekat di dalam doamu

Bolehkah aku menjadi sepertimu, ibu?
membelai penuh kasih tanpa pilu
memberikan sayang tanpa memberitahu
namun tetap dirasai dalam dakapan rindu
bahawa segalanya menggebu
untuk seorang ibu.

Bolehkah aku menjadi sepertimu, ibu?
nalurimu dapat meneka permasalahan anakmu
perasaanmu memang tidak pernah silap berlaku
dan sentiasa ada untuk anakmu
walau dalam apa jua waktu

Bolehkah aku menjadi sepertimu, ibu?

Thursday, April 02, 2015

RINDU ITU DEBU SENGSARA




Mungkin hati aku seperti debu-debu
yang hilang diterbak angin dingin
lalu merembeskan air mata
jadi aku memutuskan untuk tidak
menyimpan rindu harap terlalu jauh
kerana kelak segalanya akan luruh
bergempita dalam kecewa riuh
dan rasa akan semakin menjauh
melekapkan gulana gundah
pada riwayat sendiri
sedangkan hakikat sanubari
lebih mengajarkan erti

Adakah kamu tahu rindu ini
seringkali memilihmu?
dan perlahan-lahan membunuh sepiku.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH
1/4/2015



MEWARNAKAN HUJAN



Dia menyangkakan panas tengah hari
Hingga ke lewat petang
Rupanya hujan di pertengahan jalan
Dan dia membukakan payung perasaan
Yang tersimpan di beg sandang belakang
Dan meneruskan perjalanan pulang

Dia memandang gemawan
Dan bertanya perlahan
Bolehkah diwarnakan hujan
Mengikut alunan perasaan?

Kalau boleh diwarnakan hujan
Dia mahu hujan menjadi bunga perasaan
Bertebaran dengan wangi-wangian
Yang sentiasa membuai senyuman

Perlahan-lahan hujan reda
Meninggalkan dia hampa
Tanpa patah jawapan nyata.

BANGSAR VILLAGE, KUALA LUMPUR


SECAWAN KOPI SECAWAN RASA







Dia masih tidak tahu membuat secawan kopi
Biarpun berhari-hari
Dia tetap cuba membuat lagi
Hingga lewat dinihari
Namun tetap juga tidak menjadi

Secawan kopi memaknakan secawan rasa
Pada pangkal deria lidahnya
Pelbagai warna rasa
Meneroboskan jiwa

Ada kalanya pahit
Ada kalanya manis
Ada kalanya tawar
Ada kalanya tiada rasa

Sama seperti rasa hatinya
Gembira bercampur hiba
Sengsara bercampur ceria
Semuanya adalah rasa
Rasa perasaan seorang manusia
Menjadikan dia manusia perasa


BAGAIMANA MELARUTKAN SEPI, BEGITULAH MELARUTKAN HATI



Dalam dingin subuh
dia mencari tempat teduh
dari segala gundah
hakikat melarutkan madah

Ah, dia terlupa lagi
tentang warna-warna mimpi
yang diambilnya dari puisi
terus melarutkan sepi
dan melarutkan hati
memungkin hari
mengejar hakiki

Dan dia kembali!
dalam melarutkan sepi
dan melarutkan hati

Bab demi bab dia terkandas lagi
dalam lembah kecewa sanubari


KAMAR ILHAM, PANDAH INDAH

SEKEPING SAJAK



Katanya, sajakku hanya perasaan bertinta
Hanya sendu gelodak rasa
Seperti orang putus cinta
Bukan kesamaran kata
Yang boleh mengilham jiwa

Katanya, sajakku ketandusan idea
Seperti bahasa orang buta
Tidak ikut arus permodenan perdana
Tidak pantas seiring usia
Hanya layak di kaki lima
Tidak boleh ke mana-mana

Dan aku terus menjadi penukil tinta
Kerana dengan lukisan kata
Manusia dapat membaca jiwa
Biarpun apa orang kata
Kerana ini satu kerja
Yang di amanahkan Allah jua

KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH