BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Monday, June 30, 2014

sekeping gadis bunga




sekeping gadis bunga
akrabnya dia pada tulisan dan kata-kata
hanya jiwanya yang hidup pada setiap penjuru aksara
suaranya sepi seperti angin pagi
berdesir ombak dia tetap senyap

sekeping gadis bunga
yang hatinya sentiasa berbunga-bunga
bukan hanya senyuman yang ternganga
namun jawapan segala resah hatinya

sekeping gadis bunga
berkeping-keping hatinya tersenyum
dalam darah merah beku kaku
kerna tulisan jiwanya didamba
oleh segenap masyarakat dunia

maka, sekeping gadis bunga
hatinya aka terus berbunga-bunga
hingga pelosok hujung nyawanya
sampai sore senja melabuh tirainya

Tuesday, May 06, 2014

APRIL LALU TIDAK KUPEDULI



Sungguh!
april lalu tidak aku peduli
dalam remang pagi
tidak juga aku ambil peduli
kubiarkan tiga puluh hari
berlalu begitu sepi

aku ambil lagi cuti
sekadar untuk berjoli
ke sana sini
menyedapkan hati

senyum dalam tawa
terlupa ada lara
hingga april leka
baru tergadai alpa

Ah, April! maaf aku tidak peduli!


BILIK SEMINAR 7, ASWARA

SEBILAH HARI



ada beberapa bilah hari lagi
beberapa randik waktu sukar
beberapa detik masa rugi
semuanya terbuang lara

waktu yang berlalu dan jemu
omong kosong!
ku rasa nafas makin mendkit
dalam beberapa minggu sukar
dapatkah aku menjemputmu, teman?

Thursday, April 17, 2014

CEREKA SUKMA



Timbunan jutaan kelukaan
Ciritera yang menghunus bilah suci
Resah mengamit paluan erti
Sebagai mukmin kehidupan
Cereka catatan perjalanan silam

Hakikat rasa ini
Yang menyentap tangkai jiwa
Gentar dari puncak hati
Tiada kata dari gelodak rasa
Benih harap memekari rindu
Terhampar di balik permaidaini cinta

Bahtera keimanan dilayari bersama
Agar tidak tersesat di lautan ketewasan
Mundurnya tunus jihad
Sendiri tegar memecah kesunyian
Biar rekah gersang semangat
Memagari lunak kudrat

Apakah ertinya sinar aura ini
Biasa kalbu pada cermin diri
Aduh biasanya rasa ini
Semakin digilap bersinar mutiara
Akan terbongkarkan hijab
Yang dicari sukma rindu
Atau masih dibongkah fantasi.

ADNIE BAHIAH
PADANG MERBOK, KUALA LUMPUR.
Mingguan Malaysia
23/2/2014

kedekut kata



kalian kedekut kata
sungguh singkat pada bicara
entah apa yang berjela hendak cerita
langsung tidak tahu apa-apa
hanya tahu buang masa!

Segugus Sendirian




Entah apa sore ini,
kejap menunggu pulangan waktu
pada jam tujuh terlelap
sendirian dia menghadap tanah dingin
seperti binar matanya yang pilu terus menusuk ke jantung

dan dia masih segar
menatang kebinatangan manusia
usah khuatir, ada caturan percuma buat mereka
nun di hujung
dia rindu
pada waktu cerah perkampungan abadinya


PADANG MERBOK
JAM 7 PETANG

Wednesday, March 05, 2014

PANTUN KASIH SAYANG




Burung Merbah terbang di awan,
Main layang-layang di tepi sawah;
Cinta indah warisan zaman,
Kasih sayang penyatu ukhwah.

Redup malam bintang berseri,
Bulan berduka di hujung kalbu;
Sembah salam sayang penyeri,
Ingatan cinta orang rindu.

Terbang burung hinggap di dahan,
Mencari pauh ke seberang bukit;
Kurang sayang kasihmu tuan,
Kasihku dilabuh bukan sedikit.

Limau purut bunga kuaci,
Dibawa dari Tanah Merah;
Kalau turut cinta suci,
Jangan sampai hilang arah.

Dari Selasih tempat berhenti,
Naik kereta api ke Pulau Terendah;
Berjanji kasih sehidup semati,
Lautan api sanggup diredah.

Kemboja wangi seri menanti,
Dayang bersilih penghias tubir;
Hutang budi dibawa mati,
Hutang kasih manis di bibir.

Alang-alang singgah ke kota,
Harus membeli dakwat pekat;
Alang-alang sudah jatuh cinta,
Biar sampai di puncak berkat.

Dari Kampung Lukut meniti titi,
Untuk berakit ke negeri seberang;
Usah diikut merananya hati,
Rasa sakit untuk kekasih seorang.



P/s: keluar Tunas Cipta Keluaran Februari 2014