Kembara ilmu selaut cahaya, milik tuhan tiada bertepi diselam dasar,ditimba tak luak setitis, Kembara misi lembah nurani, takung titisan ilmu suluhan budi, Resapan dari akal yang murni, untuk diuntai mutiara sufi menjadi azimat menuju Firdausi Lembah nurani fitrahnya suci, jangan ditinggal gersang jangan dibiar hitam,gersang nurani Kerana tiada ilmu, hitam nurani kerana dosa bertimbun, noda dihati melemahkan minda. Kembara sufi terasa sukar, sesatlah didalam pelayaran, hanyut tiada pedoman, Akhirnya karam dalam kegagalan…
MUKA MAYA
BILA CINTA KERANA ALLAH...
بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)
Saturday, September 17, 2011
Kita rindukan mimpi serupa
Kita rindukan mimpi serupa
Impian cinta kita berputar di ruang kalbu
Menyinari takungan derita waktu
Lantas meninggalkan cerah cahaya berbunga bahagia.
Kita rindukan mimpi serupa
Di sudut waktu tidak kira pedih dan perit
Panas sang suria sentiasa
Menemani jiwa yang rindu.
Kita rindukan mimpi serupa
Cinta sentiasa mengalir suci ke
Lorong-lorong hati tanpa berwajah sepi
Dan tidak berombak ganas
Kita rindukan mimpi serupa
Buah cinta kita akan lahir sejuta
Generasi teladan menggendong kemanfaatan
Kemanusian sejagat pada setiap sudut zaman.
Kita rindukan mimpi serupa
Membina menara cinta dan
memekarkan harum sayang
Ke semerbak ruang hayat
setiap ketika dan hingga ke akhirnya.
Kita rindukan mimpi yang serupakan?????
Saturday, August 27, 2011
cinta yang satu
izinkan aku berdiri dipagar ilhammu
agar aku dapat menunggu
pintu hatimu terbuka menyambut
jejak cintaku ini
izinkan aku menyemai benih cinta
diruang taman hatimu
agar dapat kalbu ini berbunga rindu padamu
jangan biarkan cinta ini
terkandas tiada penyambutnya
usah dibiarkan kasih ini
kosong tiada perhatiannya
aku masih menunggu
cinta yang satu ini.
SESEPI SEPOI RANTAU ABANG
Rantau Abang menyepi resah
Aku lantas merajuk dingin
Tempatku dicumbui noda buruan
Mengenangkan tiada tempat meyambung zuriat
Dulu di sini aku mengatur jejak riang kenangan
Sepoi bahasa angin tidak dapat memujukku lagi
Ruangnya menghempas sabar dukaku
Aku dan burung sesama melihat laut
Cuma bezanya ia melayan atas tabir lautan
Dan aku meyelam ke dasar lautan kehidupan
Aku ingin berada di pulau impian
Di mana tiada manusia berwajah hodoh
Melempiaskan kekejaman terhadap kehidupanku
Sesepi rantau abang aku tinggalkan kepasrahan
Aku pergi memunggah sengsara
Menutup tirai derita hayatku.
- ADNIE BAHIAH
- Kuala Terengganu
MATAHARI KASIHKU
Matahari kasihku menyinari cahaya bahagia
Memadamkan alunan angin sengsara
Menghapus ketakutan yang menyala
Membakar dian diri tanpa hampa
Menguburkan segala pahit derita
Membenamkan kepiluan jiwa
Sungguh tautan syahdu menggunung cinta
Menghampar sayang tak terhitung kira
Matahari kasihku penyantun segala wajah
Menbenarkan aku bermain tanpa gundah
Jiwa ikhlas mendamparkan kasih
Tak pernah membuaikan kalbuku resah
Wangiannya membaja sendu tasbih
Aromanya melakar warna hayat indah
Mengemudikan ceria pada riak-riak amarah
Untuk mengukir cakna senyuman indah
Bersama menggapai segulung cecita megah
Mengenggam kepuasan yang manisnya meleret di kaki jubah!
HILANGNYA DIAN (Apresiasi buat Allahyarham Cikgu Alaudin Isa)
Malam merintih dalam kelam
Suram segenap minda alam
Sinar kejora menghilang
Rembulan mengundur pada kabus siang
gugur kemesraan pemburu impian
Guru cantelan keperibadian
menyentak sekeping jiwa mulia
suaramu berkumandang menikam senja
sayup-sayup mengajar tulis baca
Cikgu
Kau berjalan dalam lena
mengenang anak-anak bangsamu
ketandusan perwatakan duniawi
kejayaan digumpal keringat
kekecewaan ditelan penuh derita
melingkari hidup dengan satu amanah
ikrar dan janji kau tunaikan
demi memayungi ketamadunan bangsa
umpama dian membakar diri
Cikgu
sempat kau titipkan pesanan
meski di lereng pergunungan pipi senyuman bersisa
kapas kian kemas dan nafas semakin lemas
kau tetap siap bergantung harap
takut anak bangsamu kedinginan ilmu
terlantar dalam kegelapan duniawi
Cikgu
Pemergianmu bagai abjad-abjad hilang
lebur belati perjalanan hayat
meninggalkan insan yang masih mengutip
cebis-cebis huruf pengharapan
untuk diatur dalam kehidupan.
NURUL ADNIE BAHIAH ZAHABA
PASIR PEKAN,KELANTAN
DI KAKI LANGIT PENGABDIAN
Selagi hayat masih bersisa
Ada ruang penungguan bahagia
Sebelum dijemput tiba langit pengabdian nyata
Kaki senja melambai kejauhan
Di masjid penungguan sabar bermula
Berteleku syahadah-syahadah indah
Menyeru bait indah tasbih Ilahi
Walau hayat kehidupan diterjah
Nadi masih memberi peluang
Menyelami resah menutup gundah
Cantuman duka melabuh tirai
Riwayat pengabdian manusia dan penciptanya
Senja meronta denyutan rindu
Menyelerak pengabdian kalimah
Agar gusar tiada terlakar
Rindu berkhutbah meratib kecintaan
Menepuk simpangan alpa menjelma
Melontar silam ke dada langit.
Subscribe to:
Posts (Atom)