BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Thursday, April 02, 2015

RINDU ITU DEBU SENGSARA




Mungkin hati aku seperti debu-debu
yang hilang diterbak angin dingin
lalu merembeskan air mata
jadi aku memutuskan untuk tidak
menyimpan rindu harap terlalu jauh
kerana kelak segalanya akan luruh
bergempita dalam kecewa riuh
dan rasa akan semakin menjauh
melekapkan gulana gundah
pada riwayat sendiri
sedangkan hakikat sanubari
lebih mengajarkan erti

Adakah kamu tahu rindu ini
seringkali memilihmu?
dan perlahan-lahan membunuh sepiku.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH
1/4/2015



MEWARNAKAN HUJAN



Dia menyangkakan panas tengah hari
Hingga ke lewat petang
Rupanya hujan di pertengahan jalan
Dan dia membukakan payung perasaan
Yang tersimpan di beg sandang belakang
Dan meneruskan perjalanan pulang

Dia memandang gemawan
Dan bertanya perlahan
Bolehkah diwarnakan hujan
Mengikut alunan perasaan?

Kalau boleh diwarnakan hujan
Dia mahu hujan menjadi bunga perasaan
Bertebaran dengan wangi-wangian
Yang sentiasa membuai senyuman

Perlahan-lahan hujan reda
Meninggalkan dia hampa
Tanpa patah jawapan nyata.

BANGSAR VILLAGE, KUALA LUMPUR


SECAWAN KOPI SECAWAN RASA







Dia masih tidak tahu membuat secawan kopi
Biarpun berhari-hari
Dia tetap cuba membuat lagi
Hingga lewat dinihari
Namun tetap juga tidak menjadi

Secawan kopi memaknakan secawan rasa
Pada pangkal deria lidahnya
Pelbagai warna rasa
Meneroboskan jiwa

Ada kalanya pahit
Ada kalanya manis
Ada kalanya tawar
Ada kalanya tiada rasa

Sama seperti rasa hatinya
Gembira bercampur hiba
Sengsara bercampur ceria
Semuanya adalah rasa
Rasa perasaan seorang manusia
Menjadikan dia manusia perasa


BAGAIMANA MELARUTKAN SEPI, BEGITULAH MELARUTKAN HATI



Dalam dingin subuh
dia mencari tempat teduh
dari segala gundah
hakikat melarutkan madah

Ah, dia terlupa lagi
tentang warna-warna mimpi
yang diambilnya dari puisi
terus melarutkan sepi
dan melarutkan hati
memungkin hari
mengejar hakiki

Dan dia kembali!
dalam melarutkan sepi
dan melarutkan hati

Bab demi bab dia terkandas lagi
dalam lembah kecewa sanubari


KAMAR ILHAM, PANDAH INDAH

SEKEPING SAJAK



Katanya, sajakku hanya perasaan bertinta
Hanya sendu gelodak rasa
Seperti orang putus cinta
Bukan kesamaran kata
Yang boleh mengilham jiwa

Katanya, sajakku ketandusan idea
Seperti bahasa orang buta
Tidak ikut arus permodenan perdana
Tidak pantas seiring usia
Hanya layak di kaki lima
Tidak boleh ke mana-mana

Dan aku terus menjadi penukil tinta
Kerana dengan lukisan kata
Manusia dapat membaca jiwa
Biarpun apa orang kata
Kerana ini satu kerja
Yang di amanahkan Allah jua

KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH


YANG INDAH TIADA GUNDAH



Benarkah yang indah melarutkan gundah?
dan malam membawakan debar rasa
yang tidak berderia tinta
sentiasa takut dalam gelodak jiwa
lantas pasrah menerpa
menghimpit dada
dalam sengsara

Yang indah
Tiada gundah

Yang gundah
Tiada indah


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH
25/5/2015



APRIL YANG AKU TUNGGU!



April ini aku menunggu
dalam rebah emosi diri
bukan kerana janji kapitalis
cuma sekadar mahu melarutkan sengsara
mengeja perkataan derita
dalam gundah hampa

Ternyata april membunuhku
dalam mimpi menggebu
terus menghampat pusaran waktu
dan kekal sebagai aku

April! Akan terus berlalu
biarpun aku lemas dalam waktu

Ya, selamat datang April,
terus menyelami hidup marhaen sepertiku!
yang masih merempat kaku
dalam semak metropolitan berliku.

JALAN TAR, KUALA LUMPUR