MUKA MAYA
BILA CINTA KERANA ALLAH...
بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)
Sunday, April 29, 2012
LANGKAH YANG TERTINGGAL
Langkah itu masih tertinggal
Sepi sendiri biarpun ditinggalkan mulus hari
Walaupun telah luput penamat riwayatnya
Namun langkah yang tertinggal itu
Masih mengekori mendampingi hari ini.
Kesan kesakitan luka
Mewarisi kejap dalam memori
Bilah hari menafikan langkah
Berbeza nama hari,
Serupa warna hati
Berbeza rentak bulan
Serupa jejak palitan
Berbeza babak tahun
Serupa sebak laung
Hari-hari yang berbaki
Langkah semalam masih tertinggal
Ada yang indah dengan mimpi ceria
Ada yang kelam dengan malang sengsara
Langkah yang tertinggal
Harus dikutip semula
Pengajaran untuk pengembaraan diri hadapan hari
Saban waktu,
Langkah yang tertinggal perlu diingat semula.
CATATAN CINTA HATI
Dari kemarau kelmarin
Menangislah wahai hati
Tangisi sepuasnya segala sebak
Yang bersarang nun jauh dilubuk kalbu
Wahai hati
Menangislah menginsafi segala kekhilafan diri
Meratapi syahdu segala salah
Menangislah duhai hati
Selagi Allah masih meminjamkan
Sekujur tubuh bernama diri
Yang masih ada ibu segala darah
Yang dipanggil hati
Kerana nikmat tangisan itu terlalu berharga
Dan hanya layak apabila menghadap
Yang Maha Esa.
Saturday, April 28, 2012
MUTIARA KATA
“Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah”
“Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul”
“Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik”
“Barangsiapa mempertimbangankan keselamatan dalam tindakannya,maka tenanglah batinnya”
“Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang arah lain”~Cecil B. DeMille
“Jangan biarkan perahu hanyut tak berpenghuni nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan.”
“Ukuran yang paling tinggi tentang adab seseorang itu,ia wajib menaruh perasaan malu akan dirinya terlebih dahulu.”~Aflatun.
“Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar”
“Hidup memerlukan pengorbanan.Pengorbanan memerlukan perjuangan.Perjuangan memerlukan ketabahan.Ketabahan memerlukan keyakinan.Keyakinan pula menentukan kejayaan.Kejayaan pula akan menentukan kebahagian”
“Rezeki ada dimana-mana,datang tanpa diduga dan tepat pada masa.Yang penting usaha dan tawakal kepadaNYA”
Thursday, April 05, 2012
ILHAM HATI
Tatkala aku tersesat
Dalam permainan kalbu
Ilham datang mendamaikan gulana
Menyatukan senyuman perasaan
Memburu rindu pada kalbu hakiki
Tentang cinta yang datang
Perlahan ke dalam sanubari
Dan menitipkan suatu cahaya
Menerangi seluruh hidupku
Untuk selamanya.
Semoga ilham hati akan tetap
Kekal abadi di dalam diri
Menyatukan semua resah perasaan jiwa
Dan jawapan tentang hati sebenarnya.
-Teratak Ainadnie-
SEMALAM YANG TERAKHIR
Detik itu berlalu sudah
Aku mendakap salam rindu daripadanya
Dan senyuman sapa manis dari bibir mulusnya
Tak terduga oleh perasaan
Semalam yang terakhir
Pengakhir segala bulan
Yang tak mungkin aku jejaki lagi
Oleh warna-warna hati pudar
Dan sepi membisu randik waktu sukar
Sukma tidak mampu tersenyum lagi
Kaku dengan segala resah
Cuma hati memahami
Bahawa satu pertemuan pertama
Belum tentu ada kali kedua
Itu yang terakhir
Semalam tidak akan menjemput
Hari untuk kembali lagi
Aku mempersoalkan waktu
Kenapa semalam yang terakhir?
Namun ianya senyap membisu
Kerana jawapannya tetap sama
Semalam yang terakhir.
SALAH DAN DIPERSALAHKAN
Apabila cinta itu tiada
Hanya mampu dibuang jauh dari hati
Supaya tidak tumbuh rasa lagi
Namun apabila jiwa itu tiada
Tidak ada apa yang harus
Dibiarkan hilang dari diri
Tanpa jiwa ranap sebuah diri
Hanya apa yang salah?
Dan terus dipersalahkan lagi?
Rasa,jiwa,cinta atau diri?.
Semuanya memahami tugas
Bahawa hidup berona keji
Tanpa perasaan simpati.
-Teratak Ainadnie-
ANGIN CINTA DISEMBER LALU
Disember pawana pantai meniup sepi
Penghujung tahun meraih tengkujuh rindu
Pekikan dada waktu mengingatkan kembali
Angin cinta tahun lalu
Yang masih menitipkan pesan rindunya
Pada rintih sentuhan dahulu
Namun ianya masih memburu rindu
Tentang cinta yang masih bersisa
Biarpun digoda randik masa
Dan bulan yang bersilih tiba
Dahulu tetap berlalu dengan indah
Sekarang tetap berjalan dengan mudah
Biarlah angin itu sekadar menghantar pesan
Bahawa itu hanya satu suratan.
-TERATAK AINADNIE-
Subscribe to:
Posts (Atom)