BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Friday, May 01, 2015

SEPOTONG RASA MENCAIRKAN SANUBARIMU



Ketika aku sudah letih
Mahu menjauhkan perih
Ketika itu kau baru bermula
Mengaitkan beberapa tenunan aksara

Kau suka riwayat kata
Yang mencairkan sanubari jiwa
Aku pula sudah penat menulis luka
Yang mempersoalkan perdu hiba

Kalau sepotong rasa
Mencairkan sanubari jiwa
Kau pergilah berkelana
Mencari sendiri jawapannya

Aku sudah penat dengan sepotong rasa
Yang sudah tidak bernyawa.

LRT BANDARAYA-LRT CEMPAKA




KEKASIH MALANG






Kekasih malam yang
Kekal berhutang
Cintanya malang
Membawa curang

Dia setia menunggu siang
Mengharap kekasihnya pulang
Mengucup jiwanya cerlang
Bersama rindu kasih sayang

Dalam diam harapannya hilang
Dimamah randik waktu walang
Kerana kekasihnya tidak datang
Dan suram kekal bertandang.


KAMAR ILHAM, PANDAN INDAH


AKULAH HAWA TERDERA



Ada kasih yang tercampak
Jauh dari luar rentak
Kudus yang tidak ternampak
Antara kekasih dua watak

Akulah hawa yang terdera
Oleh hakikat badai sengsara
Dan kau adalah adam terhukum
Kerana sayang tanpa maklum




SEKUNTUM BUNGA YANG DIA PETIK



Katanya,
Aku adalah sekuntum bunga
Yang dia petik tanpa rasa
Terus kalau tiada rasa
Kenapa kau memetik sekuntum bunga
Dan melemparkannya jatuh ke dalam sengsara?
Tidakkah kau tamak haloba
Memetik sekuntum bunga
Dan membiarkannya menangis hiba.

Kataku,
Kerana dia adalah kumbang berbisa
Yang boleh memetik seribu kuntum bunga
Dan tidak memberi sinar bahagia.


PASIR PEKAN, KELANTAN.




BACAKANKU SEPOTONG SAJAK CINTA



Bacakanku sepotong sajak cinta
Yang ikhlas sentiasa didoa
Biar dihantar angin jiwa
Buat pengubat hati lara

Bacakanku sepotong sajak cinta
Sebelum nafas di jasad tiada
Sebelum terpejam kelopak mata
Menghadap Yang Maha Esa

Bacakanku sepotong sajak cinta
Mengganti air mawar di pusara
Biar sajak mewangi bersama kemboja
Menjadi tanda sebuah setia

Bacakanku sepotong sajak cinta
Maaf tidak dapat menemanimu di hari tua.


PASIR PEKAN



JELMAAN KELMARIN





Tidak terfikir oleh perasaan
Bahawa kalian adalah jelmaan kelmarin
Yang aku temui waktu gerimis hujan
Meminta secebis pertolongan

Lantas aku hulurkan ikhlas bantuan
Demi untuk sesuap kemanusiaan
Biar bersama basah kekuyupan
Terkena tempias kehujanan

Kini, kalian jauh meninggalkan aku berseorangan
Menggapai rembulan sukar sendirian
Sedang kalian sudah mencapai manis kebahagiaan
Dan sedang merasa sebuah kejayaan.

Dalam kejauhan,
Dalam kehujanan,
Perlahan-lahan aku mengukir senyuman
Aku gembira untukmu, teman.


DALAM KEHUJANAN, LRT PANDAN INDAH
1/5/2015

SURAT SAJAK SUNYI



Ada surat tiada alamat penghuni
Dihantar pesan sewaktu memasak nasi
Rupanya surat sajak sunyi
Yang ditulis beralamat mimpi

Sajak-sajak sepi
Yang dibaham terik panas mentari
Ditinggal terasing di atas bumi
Sajak-sajak terus terbang dibawa sendiri.