BILA CINTA KERANA ALLAH...

‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏‏بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
(DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG)

Wednesday, March 04, 2015

MELUKIS GELEMAT GEMAWAN



Dalam mentafsir minda fikir manusia
Dia bertanya sendirian
Bolehkah dilukis gelemat gemawan
Yang berwajah muram suram?

Dia lupa malam itu
Hujan luruh menggebu
Membasahkan kalbu
Terus meninggalkannya resah termangu

Namun dalam sekujur rindu
Segalanya larut tepu
Pada naskah-naskah pilu
Membebat dalam sebutir buku


PEREMPUAN PUISI




Perempuan puisi
 dan sekuntum warna hati
berbunga sepi
menghinggap diri
mematah hati

Dalam ralit menyelongkari
hayat maknawi
memeta peribadi
unggulkan keikhlasan sanubari
untuk pelbagai generasi

dan dia perempuan puisi
 hanya seorang perenung mimpi
bukan pelakar pelangi
dalam kotak-katik emosi




MENGGELODAK SUKMA BISU



Ketika menggelodak ratib sanubari
Ianya mulai pantas membaca diri
Serta tertib simpuh sepasang hati
Hangat menjalar ke ruang abadi

Ketika angin sukma bisu
Sedikit ruang tertipu
Ceritera-ceritera cinta  rindu
Kepada perawan berupawan ayu

Kerana katanya:
Bila terlanjur menyintai seseorang
Membuatkan diri kalian nanar
Resah kegilaan sendirian.




DIA DAN KAMAR KOSONG



Hari-hari dia berpaling
Melalui kamar kosong
Sepi dan sendiri
Sedemikian muram malam
Sedemikian suram kelam

Tanya seorang temannya
Bagaimana tinggal serumah
Bersama tiga buah kamar kosong?

Dan dia tiada apa-apa rasa
Kerana dia seorang perempuan sepi
Yang menyembah diri
Kepada ingatan angin dingin
Bermata matahari ngeri


PANDAN INDAH, KUALA LUMPUR
2/3/2015
10.04PM



Sunday, February 15, 2015

LEMBARAN RINDU DI TAHUN BARU




Dulu ada mentari pernah menyinari
Rimbunan gelita bersinar kembali
Kalian menghadirkan sinar hakiki
Erti sebuah persahabatan sejati

Moga tuhan akan tetap memelihara
Walaupun di mana-mana
keberadaan kalian semua

Selamat tahun baru sahabat
Satu saat kita akan menjadi orang-orang hebat
Seperti mana kita pernah berdebat
Untuk melakar rindu yang terbebat

MENANTI PELANGI DI JARI MANIS



Dalam kejap siang sesudah hujan
Dia bertanya sendirian

Tuhan,
Bilakah detiknya dia akan bertemu jalur pelangi?
Yang beraneka warni dalam pengembaraan hayatnya
Yang disulami indah mengisi sanubari
Memberikan cinta dengan maharnya
Menyemat gelaran suri

Dan dia hanya bidadari kecil
Bertanya tentang rasa
Yang tidak ada jawapan tentangnya
Seperti menanti pelangi
Tersemat erat di jari manis.



MANUSIA FEBRUARI ii



Aku bertanya dalam rahsia
Bolehkah aku meluruhkan rasa kepadamu?
Kau senyap tidak bersuara
Ya, sebab aku bertanya minda fikirmu

Aku tahu kau tidak ada jawapan tentangnya
Tentang rasa yang akubawa
Kau tidak tahu akannya
Aku kekalkannya menjadi rasa
Kejap erat simpul tautannya

Manusia Februari,
 Yang tidak tahu membaca bahasa sanubari
Biarpun berhari-hari
Penghujung semester ditempuhi
Kau mendalami erti
Sebuah senyuman memekari
Di pertautan hati

Manusia Februari
Pantaskah aku berlari
Untuk memberitahu makna sebuah resah ini?

Kadang aku bertanya hampa,
Bolehkah kau bawa
Setangkai rasa
Di saat gembira mahupun sengsara

Bolehkah bersama,
Memekarkan semuanya
pada sekuntum bunga

Atau bolehkah
aku menjadi kupu-kupu di hatimu
Berbiru ungu mendiami kalbu?



Bulatan Jam Besar, KB

Februari2015